Bekas COO Tabung Haji didakwa lagi, terima kos ubah suai rumah lebih RM8,000

25 Sep 2026, 4:30 AM
Bekas COO Tabung Haji didakwa lagi, terima kos ubah suai rumah lebih RM8,000

SHAH ALAM, 25 SEPT: Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH) didakwa lagi, hari ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menerima barang berharga dalam bentuk kos ubah suai rumah bernilai lebih RM8,000.

Datuk Adi Azuan Abdul Ghani, 56, dituduh di hadapan Hakim Suzana Hussin menerima benda berharga dengan suatu balasan, iaitu kos pengubahsuaian sebuah rumah di Jalan Tanjung SD 13/4, Bandar Sri Damansara, di sini bernilai RM8,882.77, sembilan tahun lalu, lapor Berita Harian.

Dia dituduh sebagai penjawat awam, iaitu COO TH menerima benda berharga tersebut daripada Pengarah Syarikat AG Reka Sdn Bhd, Thamsulazri Ismail, yang tertuduh tahu ada kena-mengena dalam urusan beliau di rumah berkenaan, pada 7 Mac 2017.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Semalam, dia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga tuduhan, juga berkait menerima barang berharga berbentuk kos ubah suai tiga rumah bernilai lebih RM302,000, sembilan tahun lalu.

Pada prosiding hari ini, Adi Azuan yang memakai kemeja dan sut kelabu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dari kandang tertuduh dan memohon dibicarakan.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irna Julieza Maaras memberitahu mahkamah, tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan mengikut seksyen sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam.

Sehubungan itu pihak pendakwaan memohon tuduhan hari ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama tiga pertuduhan berkenaan kerana membabitkan saksi dan kertas siasatan sama.

Mengenai isu jaminan pula, Irna Julieza memohon jaminan dan syarat tambahan yang dikenakan Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam turut terpakai bagi pertuduhan hari ini.

"Untuk makluman Yang Arif, Mahkamah Sesyen Shah Alam membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin dan memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta dia dilarang daripada mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.

"Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri tiga bulan sekali di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya," katanya.

Irna Julieza berkata, kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam ditetapkan untuk sebutan bagi penyerahan dokumen pada 25 November ini.

Perkara itu disahkan peguam, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang tidak membantah permohonan pendakwaan.

Atas persetujuan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan dan turut memerintahkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama tiga pertuduhan lain.

Adi Azuan antara lima pegawai kanan TH dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH sebelum ini.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.