TH tidak iktiraf, sokong mana-mana pengendali badal haji

9 Nov 2026, 12:56 AM
TH tidak iktiraf, sokong mana-mana pengendali badal haji

SHAH ALAM, 9 NOV: Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan pihaknya tidak pernah memberikan pengiktirafan atau sokongan rasmi kepada mana-mana pengendali perkhidmatan badal haji.

TH menerusi kenyataan memaklumkan dakwaan sebaliknya oleh mana-mana pihak di media sosial adalah tidak benar dan boleh mengelirukan orang ramai.

"Orang ramai dinasihatkan menyemak kesahihan dakwaan melalui saluran rasmi TH. TH berhak mengambil tindakan sewajarnya terhadap penyalahgunaan nama dan logonya," menurut kenyataan itu.

Penjelasan itu susulan beberapa aduan diterima daripada orang ramai berhubung tawaran perkhidmatan badal haji oleh pihak tertentu yang didakwa mengaitkan perkhidmatan itu dengan TH, termasuk menerusi hantaran tular di media sosial.

Rabu lalu, media melaporkan garis panduan berkaitan khidmat badal haji sedang dirangka untuk dibentangkan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sebelum dijadikan rujukan masyarakat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli dilaporkan berkata inisiatif itu dilaksanakan menerusi kajian Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) bagi meneliti kebolehlaksanaan perkhidmatan berkenaan, sama ada ditawarkan syarikat atau individu.

Pada masa sama, JAWHAR dan TH akan terus memberikan penjelasan mengenai badal haji menerusi sesi penerangan, program kesedaran dan hebahan melalui tazkirah di masjid serta surau, kempen media sosial dan siri jelajah ke seluruh negara.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.