SHAH ALAM, 22 OKT: Dua bekas pegawai kanan Lembaga Tabung Haji (TH) didakwa di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menipu Ahli Lembaga Pengarah agensi itu berhubung pembayaran hibah berjumlah RM3.3 bilion bagi tahun kewangan 2017.
Bekas Ketua Pegawai Kewangan TH, Datuk Rozaida Omar, 63, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah, 70, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan bersama dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Norma Ismail, lapor Berita Harian.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memperdaya Ahli Lembaga Pengarah TH dengan mendorong mereka meluluskan penilaian semula hartanah pelaburan organisasi berkenaan yang dilambungkan nilainya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa menyediakan dan membentangkan kertas kerja mengandungi penilaian hartanah yang dilambungkan dalam penyata kewangan belum dikonsolidasi bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, sedangkan mereka mengetahui hartanah itu sepatutnya dinilai pada harga pasaran yang lebih rendah.
Perbuatan itu didakwa membolehkan TH membuat pembayaran hibah berjumlah RM3.3 bilion kepada pendeposit bagi tahun kewangan 2017.
Tiga hartanah yang terbabit ialah Bangunan TH Platinum Park, Bangunan TH Perdana dan Bangunan TH Selborne.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 3 petang hingga 10.30 malam di Menara TH Tun Razak, Jalan Tun Razak, pada 9 Februari 2018.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan jaminan RM60,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 8 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwah Raya, Datuk Nazran Mohd Sham, Rohaiza Abd Rahman dan Siti Aina Rodhiah Md Shikh.
Rozaida diwakili peguam Shamsul Sulaiman, manakala Johan diwakili peguam Datuk Shukri Mohamed dan Malissa Shukri.







