SHAH ALAM, 26 SEPT: Penglibatan industri dari peringkat awal latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) penting bagi memastikan kemahiran graduan benar-benar sepadan dengan keperluan pekerjaan semasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Technical Skills Development Centre (STDC), Dr Harizal Hamid berkata ketidakpadanan kemahiran atau ‘skill mismatch’ dalam kalangan graduan TVET boleh berlaku dalam dua keadaan berbeza bergantung kepada tahap kompetensi dan kesesuaian kemahiran dengan pekerjaan diceburi.
“Mismatch ini ada dua senario. Pertama, kompetensi pelajar terlalu rendah berbanding kerjaya yang diceburi, jadi apabila masuk industri mereka terpaksa memulakan pembelajaran baharu dan dilatih semula.
"Yang kedua, pelajar kita sangat kompeten tetapi memulakan kerjaya dalam industri yang tidak memerlukan kemahiran mereka, jadi wujud ketidakseimbangan di situ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Bicara Semasa bertajuk 'Belajar TVET, lepas itu ke mana?' terbitan Media Selangor, baru-baru ini.

Dr Harizal berkata antara faktor menyumbang kepada keadaan itu ialah hubungan antara institusi pendidikan dengan industri yang tidak berlaku secara cukup rapat dan berterusan ketika proses pembelajaran.
Katanya, institusi pendidikan lazimnya mengajar berpandukan silibus, sedangkan teknologi dan keperluan industri berubah dengan sangat pantas.
“Hubungan dengan industri bagi institusi pendidikan selalunya terhad, sekadar pertemuan dengan penasihat industri satu, dua atau tiga kali dalam satu semester. Itu tidak mencukupi dan antara perkara yang menyumbang kepada mismatch.
“Industri bergerak dengan sangat pantas. Sebab itu kita tidak mahu pelajar ketinggalan,” katanya.
Justeru, beliau berkata pemain industri perlu dibawa masuk lebih awal sebagai rakan strategik dalam proses latihan termasuk berkongsi kepakaran, menyediakan tenaga pengajar dan menawarkan pensijilan profesional kepada pelajar.
Sebagai contoh, STDC menjalinkan kerjasama dengan beberapa pemain industri dan teknologi termasuk Siemens, Google, Apple serta BMW dalam bidang berkaitan pembuatan, digital, kecerdasan buatan (AI) dan automotif.
Menurut Dr Harizal, pendekatan itu bukan sahaja memberi pengiktirafan industri kepada pelajar, malah membolehkan mereka membina jaringan serta mendapat pendedahan lebih awal kepada ekosistem pekerjaan.

Beliau berkata langkah berkenaan penting bagi memastikan kemahiran yang diajar sentiasa mengikuti perkembangan industri, sekali gus mengurangkan jurang antara latihan yang diterima dengan kompetensi diperlukan majikan.
Dalam pada itu, Dr Harizal berkata isu pertindihan program TVET turut memerlukan penyelarasan sumber dan pengagihan bidang latihan secara lebih bersepadu.
Menurutnya, penyelarasan itu penting khususnya bagi sektor strategik seperti AI, aeroangkasa, mikroelektronik, semikonduktor dan teknologi hijau yang semakin memerlukan tenaga kerja berkemahiran.
“Pengagihan kepada setiap inisiatif yang dikendalikan institusi tertentu perlu dilaksanakan dan dimandatkan dengan lebih komprehensif supaya suatu ketika nanti permintaan terhadap tenaga berkemahiran bukan lagi satu masalah kepada Selangor.
“Kita juga tidak mahu terpaksa mengambil kepakaran dari luar untuk menampung keperluan semasa,” katanya.
Rancangan Selangor Kedua (RS-2) turut memberi penekanan terhadap pembangunan TVET menerusi Misi Keempat: Modal Insan Produktif dan Inklusif, yang antara lain memberi tumpuan kepada pembangunan bakat serta tenaga kerja yang mampu memenuhi keperluan industri.
Ketika membentangkan RS-2 pada Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri akan memperkemas kerangka TVET yang diterajui STDC menerusi cadangan Pemerbadanan TVET.
Menurut beliau, langkah itu bertujuan mengelakkan pertindihan tawaran latihan di pasaran selain memastikan sistem TVET Selangor benar-benar memenuhi keperluan industri.










