SHAH ALAM, 21 FEB: Selangor memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai persediaan menghadapi peralihan ke arah Revolusi Industri 5.0 yang menekankan keseimbangan antara teknologi dan peranan manusia.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) Dr Harizal Hamid berkata pendidikan TVET di negeri ini mula mengadaptasi elemen peralihan daripada Revolusi Industri 4.0 kepada 5.0, sejajar dengan perkembangan teknologi global dan hala tuju Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
“Sekarang kita bergerak ke arah dominasi Revolusi Industri 5.0, iaitu keseimbangan antara teknologi dan peranan manusia.
“Pendidikan TVET di Selangor tidak mahu ketinggalan, kita mahu bergerak seiring dan perubahan ini selari dengan hala tuju RS-2 yang menekankan pembentukan negeri pintar, berdaya huni dan makmur,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Sebagai agensi pelaksana utama TVET negeri, STDC berperanan membangunkan modul latihan yang responsif terhadap keperluan industri semasa, termasuk memasukkan elemen kecerdasan buatan (AI), automasi dan teknologi pembuatan pintar.
Dr Harizal berkata pembangunan TVET di Selangor kini memberi tumpuan kepada pembangunan kerjaya jangka panjang, bukan sekadar kebolehpasaran graduan semata-mata.
Menurut beliau, STDC turut menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat global seperti Siemens, Apple, Google, Dassault Systèmes dan BMW Group Malaysia bagi memastikan latihan yang ditawarkan setanding piawaian antarabangsa.
“Apabila kita bekerjasama dengan pemain industri antarabangsa, ia memberi nilai tambah bukan sahaja kepada kurikulum, tetapi juga persepsi masyarakat bahawa TVET bukan lagi laluan kelas kedua,” katanya.
TVET bukan dunia lelaki sahaja
Dalam masa sama, TVET di Selangor turut membuka ruang lebih luas kepada penyertaan wanita, sekali gus menepis tanggapan bahawa bidang teknikal hanya sesuai untuk lelaki.
Dr Harizal berkata perubahan landskap industri daripada kebergantungan kepada kekuatan fizikal kepada kemahiran digital dan kreativiti menjadikan penglibatan wanita semakin signifikan.
“Wanita mempunyai kelebihan dari segi kreativiti, ketelitian dan kesenian. Ini merupakan kekuatan besar dalam ekosistem TVET hari ini,” katanya.
Menurutnya, TVET masa kini tidak lagi tertumpu kepada industri berat seperti automotif dan elektrikal sahaja, sebaliknya melibatkan industri kreatif, e-dagang, pembangunan produk digital, kulinari dan pastri.
Beliau berkata pelaksanaan Program TVET Wanita Selangor merupakan langkah strategik kerajaan negeri, dengan STDC menjadi antara institusi yang menyokong pelaksanaannya melalui penyediaan latihan dan modul bersesuaian.
“Inisiatif ini membuka ruang lebih luas kepada wanita untuk terlibat secara langsung dalam dunia TVET dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi Selangor.
“Wanita dalam bidang kemahiran teknikal dan digital bukan sahaja memperkukuh kedudukan mereka dalam pasaran kerja, malah membantu membentuk ekosistem ekonomi negeri yang lebih inklusif dan berdaya tahan,” ujarnya.






