Kebersihan kampung tradisi Meru bertambah baik, aduan sampah menurun

26 Sep 2026, 2:00 AM
Kebersihan kampung tradisi Meru bertambah baik, aduan sampah menurun
Kebersihan kampung tradisi Meru bertambah baik, aduan sampah menurun
Kebersihan kampung tradisi Meru bertambah baik, aduan sampah menurun

KLANG, 26 SEPT: Tahap kebersihan di kampung tradisi sekitar Meru semakin baik susulan kutipan sampah yang lebih tersusun, selain penurunan aduan penduduk berkaitan masalah sampah.

EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim berkata tinjauan di beberapa lokasi termasuk sepanjang Jalan Khamis mendapati keadaan kebersihan jauh lebih baik berbanding sebelum ini.

Menurut beliau, KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) diminta meneruskan pemantauan, selain memperkukuh libat urus dengan penduduk yang masih belum menyediakan tong sampah domestik.

“Kita kena ada libat urus (engagement) dan perjumpaan dengan mereka (penduduk) supaya mereka tahu tanggungjawab menyediakan tong sampah domestik.

"Dengan itu, sampah boleh dibuang mengikut jadual dan lebih tersusun, sekali gus memastikan kampung semakin hari semakin bersih,” katanya ketika ditemui pada sesi turun padang di Kampung Meru baru-baru ini.

Suee Lim berkata, kerjasama MBDK dan KDEBWM turut menyumbang kepada pengurangan aduan berkaitan sampah di kawasan berkenaan.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim bersama Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato' Ramli Mohd Tahir meninjau sekitar Taman Meru Makmur Dua ketika sesi turun padang KDEBWM di Meru, Klang pada 17 September 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, beliau memaklumkan peruntukan RM10 juta tahun ini akan ditambah RM5 juta bagi memperluaskan pelaksanaan kutipan sampah ke kawasan yang sebelum ini tidak termasuk dalam skop perkhidmatan, terutama membabitkan 70 lokasi panas pembuangan sampah haram yang dikenal pasti.

Sementara itu, Pengarah Urusan KDEBWM, Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata jumlah lokasi yang memerlukan tindakan pembersihan meningkat daripada 132 kepada kira-kira 202 selepas empat bulan pelaksanaan sejak Mei lalu.

Katanya, lokasi berkenaan melibatkan kawasan yang berdepan masalah sampah pukal dan pembuangan sampah secara haram.

“Daripada 132 kawasan kampung tradisi, kita dapati bertambah kira-kira 70 lagi lokasi, menjadikan keseluruhannya sekitar 202 lokasi yang mempunyai banyak sampah, termasuk sampah pukal dan sampah haram. Jadi kita perlu lihat bagaimana perkara ini dapat diselesaikan dalam tempoh setahun,” katanya.

Ramli berkata operasi kutipan turut diperkasa menerusi pelantikan kira-kira 54 kontraktor baharu serta penambahan hampir 295 unit tong sampah.

Katanya, langkah itu bertujuan memastikan kutipan sampah di kawasan kampung tradisi dapat dilaksanakan secara lebih teratur dan konsisten.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.