SHAH ALAM, 24 SEPT: Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua menerima sumbangan pendidikan dan bantuan sara hidup bagi mengurangkan beban perbelanjaan harian.
Pusat Khidmat Rakyat N16 Sungai Tua memaklumkan, bantuan itu disalurkan menerusi Program Sumbangan Pelajar dan Bantuan Sara Hidup sebagai sebahagian usaha berterusan mendekati rakyat serta menjaga kebajikan masyarakat setempat.
“Usaha sebegini akan terus diperkasakan sebagai tanda keprihatinan dan komitmen dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Semoga sumbangan yang disampaikan dapat memberi manfaat dan sedikit kelegaan kepada para penerima serta keluarga,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Program yang berlangsung di perkarangan Pejabat DUN Sungai Tua, Batu Caves pada jam 10.30 pagi itu dirasmikan Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, A Rahim Kasdi yang mewakili Dato’ Seri Amirudin Shari.
Turut hadir ketua-ketua kampung DUN Sungai Tua serta Pusat Wanita Berdaya DUN Sungai Tua yang bersama-sama mendekati komuniti dan membantu mengenal pasti keperluan masyarakat setempat.








