Bantuan DUN Sungai Tua ringankan beban pesakit, golongan asnaf

30 Mei 2026, 12:02 PM
Bantuan DUN Sungai Tua ringankan beban pesakit, golongan asnaf
Bantuan DUN Sungai Tua ringankan beban pesakit, golongan asnaf

GOMBAK, 30 MEI: Bantuan kewangan, perubatan dan persekolahan yang disalurkan menerusi program Penyerahan Sumbangan Kewangan DUN Sungai Tua memberi kelegaan kepada penerima, termasuk pesakit, golongan asnaf dan keluarga berpendapatan rendah yang berdepan pelbagai cabaran hidup.

Pesara, Abeedin M.A. Mohamed Yusoff, 71, bersyukur menerima bantuan perubatan RM4,000 sekali gus meringankan kos rawatan yang sedang dijalaninya.

Beliau berkata bantuan itu amat bermakna memandangkan masih perlu mendapatkan rawatan susulan selepas mengalami kecederaan serius pada kaki akibat terjatuh ke dalam parit tahun lalu.

Penerima sumbangan Abeedin Al M.A Mohamed Yusoff. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Bantuan ini untuk menampung kos rawatan kaki. Saya juga masih menjalani rawatan jantung di IJN. Sebelum ini saya terlibat dalam kemalangan motosikal menyebabkan terpaksa menggunakan tongkat. Keadaan menjadi semakin sukar berikutan kejadian terbaharu jatuh ke dalam parti,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Penyerahan Sumbangan Kewangan DUN Sungai Tua dan Penyerahan Sumbangan Mydin serta Kenduri Rakyat di Dewan Orang Ramai Kampung Wira Damai, hari ini. Seramai 50 individu menerima bantuan dalam program tersebut.

Sementara itu, peniaga cendol, Rina Azfina Zaharuddin, 45, turut meluahkan rasa syukur apabila menerima bantuan yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban keluarganya selepas tidak dapat berniaga sejak tiga bulan lalu.

Beliau berkata masalah pada kaki yang dialami secara tiba-tiba menyebabkan pergerakannya terbatas dan menjejaskan sumber pendapatan harian keluarga.

Penerima sumbanga Rina Azlina. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Saya juga penerima zakat. Alhamdulillah, bantuan zakat banyak membantu kerana saya menerima bantuan bulanan serta bekalan makanan.

“Syukur kerana masih ada bantuan daripada keluarga, rakan-rakan dan Kerajaan Negeri yang sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban perbelanjaan anak-anak,” kata ibu kepada tujuh anak itu yang turut menerima bantuan persekolahan.

Ketua Kampung Laksamana, Tok Roszaidi Ishak. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, Ketua Kampung Laksamana, Tok Roszaidi Ishak berkata pihaknya bersyukur menerima seekor lembu sumbangan peribadi Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari untuk diagihkan kepada penduduk kampung, khususnya golongan fakir miskin dan ibu tunggal.

Beliau berkata setiap kampung menerima seekor lembu korban yang kemudiannya disembelih dan diagihkan kepada penduduk yang memerlukan.

“Selain itu, penduduk turut menerima barangan keperluan harian hasil sumbangan Mydin Selayang,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.