MB serah baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina RM200 di DUN Sungai Tua

9 Feb 2026, 4:00 AM
MB serah baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina RM200 di DUN Sungai Tua

SHAH ALAM, 9 FEB: Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari menyempurnakan program penyerahan baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina kepada penerima layak di DUN Sungai Tua yang berlangsung di Pasaraya Sri Ternak, di sini.

Inisiatif itu bertujuan membantu meringankan beban penerima dalam membuat persiapan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyantuni penduduk pada program penyerahan baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina di Pasaraya Sri Ternak, Selayang. Foto Facebook Amirudin Shari

Menurut Amirudin, program Jom Shopping dilaksanakan secara konsisten sempena tiga perayaan utama, iaitu Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali, dengan setiap penerima menerima baucar bernilai RM200.

"Bagi DUN Sungai Tua, lebih 400 penerima telah dikenal pasti untuk menerima manfaat ini.

"Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat menceriakan persiapan dan menyerikan lagi sambutan Tahun Baharu Cina buat mereka yang menerimanya," katanya menerusi Facebook.

Baucar Jom Shopping Perayaan berjumlah RM200 seorang diperkenalkan untuk membantu keluarga berpendapatan bawah RM3,000 membeli barangan keperluan asas di pasar raya terpilih.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyantuni penduduk pada program penyerahan baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina di Pasaraya Sri Ternak, Selayang. Foto Facebook Amirudin Shari

Tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntuk RM18.48 juta bagi program berkenaan, termasuk tambahan RM2 juta berbanding tahun lalu, yang bakal memberi manfaat kepada 92,400 penerima untuk membuat persiapan perayaan Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperkenal baucar Jom Shopping Hari Pahlawan Negara berjumlah RM200 seorang kepada 8,317 veteran, dengan peruntukan keseluruhan RM1.7 juta.