Galeri kecil pacu ekonomi budaya

26 Sep 2026, 6:00 AM
Galeri kecil pacu ekonomi budaya

Seni sering dianggap sebagai sesuatu yang indah untuk dipandang, tetapi tidak semestinya dilihat sebagai sesuatu yang mampu menggerakkan ekonomi.

Sedangkan di banyak kota dunia, seni telah lama menjadi sebahagian daripada ekosistem ekonomi, pelancongan dan identiti bandar.

Sebab itu inisiatif Gallery Hopping Selangor yang diperkenalkan melalui Belanjawan Selangor 2026 wajar diberikan perhatian.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM500,000 bagi melaksanakan inisiatif ini sepanjang tahun 2026, termasuk penganjuran pameran bertema setiap suku tahun.

Tujuan yang dinyatakan kerajaan juga cukup jelas: menghidupkan industri seni dan meningkatkan minat terhadap seni, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Persoalannya, bagaimana program ‘gallery hopping’ boleh mencapai tujuan sebesar itu?

Istilah ‘gallery hopping’ mungkin kedengaran mudah. Pergi ke satu galeri, kemudian bergerak ke galeri yang lain. Tetapi gagasan Kerajaan Selangor sebenarnya mempunyai sasaran yang lebih besar.

Dalam pembentangan Belanjawan 2026, Dato’ Menteri Besar Selangor menyatakan konsep ini mengambil inspirasi daripada pendekatan ‘Art Collaboration’ di Kyoto, yang berjaya menghidupkan koleksi peribadi dan galeri-galeri kecil.

Di sinilah nilai sebenar Gallery Hopping Selangor. Ia bukan semata-mata mahu membawa lebih ramai pengunjung ke galeri. Ia berpotensi mewujudkan hubungan antara pemilik koleksi, galeri kecil, artis, penggiat seni dan khalayak.

Selama ini, banyak koleksi seni persendirian mungkin hanya berada dalam ruang tertutup. Banyak pula galeri kecil beroperasi dengan khalayak yang terhad.

Jika kedua-duanya dapat dihubungkan dengan program yang tersusun, koleksi yang selama ini tidak diketahui umum boleh menjadi sebahagian daripada pengalaman seni masyarakat.

Daripada koleksi kepada pameran, daripada pameran kepada khalayak, daripada khalayak kepada pasaran. Dan daripada pasaran, lahirlah industri.

Industri seni sememangnya akan berkembang apabila kita menghasilkan lebih banyak karya. Namun, kita memerlukan orang yang mahu melihatnya, memahami nilainya dan akhirnya menyokongnya samada dengan membeli atau membayar untuk menghayatinya.

Sebab itu sasaran kepada generasi muda sangat penting. Anak muda hari ini mempunyai cara berbeza menikmati pengalaman budaya. Mereka tidak semestinya mahu datang ke galeri untuk melihat lukisan secara konvensional selama sejam. Mereka mencari pengalaman.

‘Gallery hopping’ boleh mengambil kesempatan daripada perubahan ini. Pameran boleh digabungkan dengan muzik, reka bentuk, fotografi, seni digital, fesyen, kopi, makanan dan kandungan kreatif. Galeri boleh bekerjasama dengan kafe, kedai buku, hotel dan perniagaan tempatan.

Dengan pendekatan ini, mengunjungi galeri tidak lagi menjadi aktiviti yang terpisah daripada kehidupan bandar. Ia menjadi sebahagian daripada gaya hidup.

Modal budaya besar

Selangor sebenarnya mempunyai kelebihan yang jarang dimiliki negeri lain. Ia mempunyai bandar moden, bandar lama, kawasan industri, komuniti kreatif, institusi pendidikan, muzium, galeri, pusat komersial dan masyarakat yang sangat pelbagai.

Masalahnya bukan kekurangan cerita. Masalahnya ialah cerita-cerita itu belum disusun menjadi satu pengalaman budaya yang mudah diterokai.

‘Gallery hopping’ boleh menjadi salah satu mekanisme untuk menyusunnya. Shah Alam misalnya mempunyai institusi budaya dan seni yang boleh menjadi salah satu nod utama.

Petaling Jaya mempunyai komuniti kreatif dan galeri yang berkembang. Klang pula mempunyai sejarah pelabuhan, warisan kolonial dan bangunan lama.

Selain daripada itu, Kuala Selangor mempunyai sejarah, alam dan komuniti tempatan. Kajang mempunyai sejarah bandar, makanan dan budaya masyarakatnya.

Setiap tempat mempunyai identiti. Apa yang diperlukan ialah kurasi dan jaringan kerjasama.

Di sinilah kejayaan inisiatif ini akan diuji. RM500,000 boleh menghasilkan banyak acara. Tetapi banyak acara tidak semestinya menghasilkan industri.

Jika ‘gallery hopping’ hanya berakhir dengan beberapa pameran, jumlah pengunjung dan gambar untuk media sosial, matlamat asal untuk menghidupkan industri seni belum benar-benar tercapai.

Sebaliknya, kerajaan perlu melihat program ini sebagai platform membina pasaran.

Satu sasaran boleh ditetapkan seperti, berapa ramai artis baharu mendapat peluang? Berapa banyak karya dijual? Berapa banyak galeri kecil memperoleh pelanggan baharu?

Malah, berapa banyak koleksi persendirian berjaya dibawa kepada khalayak? Berapa ramai anak muda yang datang kembali selepas pengalaman pertama? Dan berapa banyak perniagaan lain mendapat manfaat daripada ekosistem tersebut?

Inilah ukuran yang lebih penting. Ukuran ini tidak semestinya dicapai secara menyeluruh, namun usaha ke arah mencapainya, harus dibuat.

Selangor kini mempunyai peluang untuk melihat seni dalam kerangka yang lebih besar.

Belanjawan 2026 turut memperuntukkan RM1 juta untuk meneruskan Ekspo Ekonomi Kreatif dan membangunkan Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif yang merangkumi bidang seperti seni, budaya dan reka bentuk.

Maka ‘gallery hopping’ tidak seharusnya berdiri sendirian. Ia boleh menjadi sebahagian daripada ekosistem ekonomi kreatif Selangor.

Galeri menyediakan ruang. Artis menyediakan karya. Pengumpul menyediakan pasaran. Kafe, hotel dan perniagaan tempatan menyediakan pengalaman.

Pelancongan membawa pengunjung. Media sosial membawa perhatian. Dan kerajaan menyediakan jaringan serta platform. Apabila semua ini bersambung, barulah seni mempunyai peluang untuk menjadi ekonomi.

Mungkin sudah tiba masanya Selangor tidak hanya memikirkan galeri secara berasingan.

Kita boleh membina Selangor Art Trail — laluan seni yang menghubungkan galeri, muzium, studio artis, bangunan warisan, seni awam, kedai buku, kafe dan lokasi budaya.

Setiap bandar boleh mempunyai identiti dan naratifnya sendiri. Pengunjung bukan sekadar datang melihat karya.

Mereka datang untuk mengenali sebuah bandar. Di sinilah seni bertemu dengan pelancongan budaya. Dan apabila pelancongan budaya berkembang, manfaat ekonominya boleh mengalir kepada lebih banyak sektor.

*Darma Sari merupakan seorang pengamat seni dan budaya tanah air

Kategoripendapat

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.