Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Singapore Art Week (SAW) menjadi lebih daripada sekadar festival seni tahunan.
Ia merupakan contoh jelas bagaimana seni boleh dijadikan instrumen strategik negara, bukan hanya untuk pembangunan budaya, tetapi juga sebagai alat ekonomi dan diplomasi antarabangsa.
Apa yang dipamerkan? Yang dipamerkan ialah pameran seni kontemporari, instalasi awam, persembahan interaktif dan pengalaman imersif.
Ini hanyalah permukaan kepada sebuah ekosistem kreatif yang tersusun rapi, dibentuk oleh polisi kerajaan yang matang dan strategik.
SAW 2026 memperlihatkan transformasi seni menjadi modal ekonomi. Ia menghubungkan artis, kurator, pengumpul, pelancong, institusi pendidikan dan modal antarabangsa dalam satu musim budaya yang tersusun.
Bandar raya menjadi galeri terbuka (open gallery), kreativiti menjadi tarikan pelaburan, dan seni berfungsi sebagai alat diplomasi budaya.
Dari perspektif polisi, ini merupakan hasil strategi jangka panjang yang menggabungkan dasar ekonomi, pembangunan sumber manusia dan promosi antarabangsa.

Namun, keberhasilan model Singapura menimbulkan satu persoalan kritikal bagi Malaysia - bagaimana negara boleh memainkan peranan menyokong industri kreatif tanpa mengekang kebebasan seni?
SAW menunjukkan bahawa dengan struktur dan sokongan yang tepat, sama ada menerusi pembiayaan awam, kerjasama swasta, insentif cukai, penyusunan ruang-ruang awam sebagai laman pameran dan galeri, serta promosi antarabangsa, seni bukan sekadar ekspresi estetika, tetapi juga industri yang berdaya saing — yang dengannya, minat menjadi ringgit.
Mungkin bagi Malaysia dan dalam konteks ‘daerah seni’ (art district), Selangor juga boleh mengambil beberapa pelajaran daripada SAW.
Pertamanya, dengan memfokuskan kepada polisi yang terancang dan jangka panjang, malah kini ia mungkin telah dimasukkan dalam rancangan negeri.
Pembangunan industri kreatif memerlukan polisi yang konsisten dan berpandangan jauh, bukan polisi bersifat program demi program.
Paling penting, polisi yang diwujudkan mestilah berteraskan ‘market economy’ atau ekonomi pasaran — yang menggalakkan pelaburan terbuka daripada sektor swasta.
Singapura bukan sahaja membiayai artis, studio dan galeri, tetapi turut menetapkan objektif yang jelas iaitu menghubungkan seni dengan ekonomi, pelancongan dan diplomasi budaya.
Selangor boleh membina 10 jenis pelan hala tuju (road map) pembangunan industri kreatif dan kebudayaan, termasuk strategi insentif, latihan dan sokongan eksport karya kreatif.

Namun, hal itu tidak lagi menjamin kejayaan sekiranya tidak disokong dengan asas ekonomi pasaran yang tepat.
Membangun infrastruktur dan logistik seni bukanlah suatu kos yang kecil. Oleh itu, usaha menjadikan lorong-lorong belakang sebagai laman seni telah dimulakan lebih 10 tahun lalu.
Namun, inisiatif ini memerlukan satu anjakan baharu dengan memanfaatkan budaya baharu. SAW menjadikan bandar sebagai galeri terbuka. Instalasi awam dan pengalaman interaktif meningkatkan keterlibatan masyarakat.
Malaysia boleh memanfaatkan ruang awam, bandar hatta kampus sebagai platform seni, bukan hanya galeri tradisional semata-mata. Jika mural atau grafiti dipamerkan di dalam ruang galeri tertutup, maka secara optik ia tidak kelihatan di mata awam.
Maka, disebabkan kesan optik inilah, orang awam mula melihat dan akhirnya menghargai seni grafiti yang suatu masa dahulu dilayan sebagai ‘vandalisme’ di dinding awam.
Ini merupakan contoh bagaimana seni boleh menjadi sebahagian daripada kehidupan harian rakyat dan akhirnya menjadi penjana kepada ekonomi manusia.
Wujud ekosistem
Mewujudkan ekosistem pula merupakan satu perkara yang sangat mencabar. Jika kita mempelajari pengalaman negara lain, seperti Indonesia, mewujudkan ekosistem industri kebudayaan ini akhirnya bergantung kepada sejauh mana ‘supply and demand’ diurus dengan betul oleh komuniti seni itu sendiri.
Kejayaan SAW mungkin kita lihat dan ukur daripada aspek zahirnya sahaja, tetapi di sebalik penzahiran itu wujud ekosistem yang saling mengikat, menghubungkan artis, kurator, institusi, pengumpul dan pelancong.
Ekosistem ini diikat dengan satu persefahaman agar semua pihak bukan sahaja menghasilkan produk dan perkhidmatan, tetapi turut berkongsi matlamat yang sama dalam rantaian kerja ini. Ekosistem ini pula menjadi lebih kukuh apabila ia berkembang menjadi sebuah ‘komuniti’ budaya.
Jika kita mengambil iktibar daripada apa yang pernah dilakukan, lihat sahaja PROTON. Melalui dasar perindustrian, kerajaan ketika itu berjaya mencipta ekosistem di mana vendor-vendor tempatan muncul sebagai pembekal komponen kepada kereta nasional. Hal ini tidak pernah berlaku sebelum itu, namun ia terbukti boleh dilaksanakan.
Malaysia, malah Selangor, boleh memperkukuh ekosistem ini menerusi jaringan komuniti melalui festival kreatif, kolaborasi industri dan platform digital yang menjadikan seni bukan sekadar aktiviti individu, tetapi sektor bersepadu yang menyumbang kepada ekonomi negara.
Dalam konteks ini, SAW membuktikan bahawa seni boleh diselaraskan dengan objektif ekonomi dan diplomasi. Malaysia perlu belajar bagaimana menyokong industri kreatif tanpa mengekang ekspresi seni, sambil memastikan kreativiti artis kekal autentik walaupun berada dalam kerangka pembangunan industri.
Malaysia memerlukan NGO seni budaya yang komited untuk menjadi penggerak kepada ekosistem dan dasar industri kreatif.
NGO ini bukan sekadar penyelenggara program, tetapi bertindak sebagai pembekal kandungan (content) seni, serta menjadi jambatan antara artis, masyarakat dan kementerian atau agensi kerajaan lain.
Dengan kehadiran NGO yang aktif dan berpengaruh, polisi seni budaya boleh dirangka dengan lebih relevan, inklusif dan responsif terhadap keperluan industri serta perkembangan global.
Dengan mengambil pelajaran ini, Malaysia malah Selangor berpotensi membangunkan ekonomi kreatif yang mapan, mengangkat seni sebagai alat pembangunan budaya, ekonomi dan diplomasi, sambil mengekalkan identiti budaya yang unik.
Akhirnya, pertanyaan kepada diri kita: bagaimana kita boleh mengubah seni daripada sekadar ekspresi kepada sektor berdaya saing tanpa kehilangan jiwanya?
Kejayaan itu memerlukan polisi pintar, sokongan berstruktur, keberanian untuk meletakkan kreativiti di pusat pembangunan, serta NGO seni budaya yang mampu menggerakkan dasar dengan komitmen dan wawasan jauh ke hadapan.
*Darma Sari merupakan seorang pengamat seni dan budaya tanah air


