SHAH ALAM, 25 SEPT: Semua pengusaha ladang ayam yang memiliki bilangan ternakan lebih 500 ekor diwajib beroperasi dalam zon khas yang menggunakan amalan penternakan secara tertutup.
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata pelaksanaan zon berkenaan dijalankan di setiap daerah melalui pemantauan ketat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan agensi berkaitan.
Beliau menjelaskan ketetapan itu diputuskan Kerajaan Negeri bagi membendung masalah berbangkit antaranya gangguan bau dan lalat sekali gus memastikan keselesaan rakyat.
“Maknanya selepas ini, ladang ayam ada zon khas. Cuma dalam keadaan tertentu terutama kawasan yang tiada ruang besar, kita syaratkan dalam pelan ini supaya wajib ada kawasan penampan.
“Jarak kawasan ternakan mesti 200 meter dari penempatan, baru kita benarkan. Kalau kurang dan dekat rumah penduduk, operasi ladang tidak dibenarkan,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau percaya penempatan zon yang mula dijalankan sejak tahun lalu dijangka mengatasi risiko pencemaran dan pelbagai gangguan termasuk bau dan lalat kepada penduduk setempat.
Justeru, katanya, semua pengusaha ayam di negeri ini yang masih beroperasi di luar zon berkenaan perlu segera berpindah ke lokasi khas yang mengamal sistem penternakan tertutup.
“Selepas setahun ketetapan ini dibuat, kita dapati banyak sistem tertutup sudah dilaksanakan terutama dalam kalangan penternak baharu. Yang sedia ada (ladang tertutup) pun banyak.
“Dalam tempoh berbaki setahun ini, kita akan teliti semua penternak, kenal pasti yang belum melaksanakannya sebelum tindakan dibuat secara berperingkat,” katanya.
Ir Izham menjelaskan sesi libat urus bersama penternak dan pengusaha ayam akan diadakan pada Oktober untuk memperinci lagi sistem migrasi tersebut selain menilai perkembangan terkini.

Beliau mengingatkan tindakan tegas akan diambil termasuk menyita dan merampas ladang jika penternak masih gagal mencari langkah penyelesaian selewat-lewatnya pada tahun 2028.
“Tindakan tegas ini sudah dikenakan kepada beberapa penternak antaranya di Kuala Langat. Walaupun kita tahu ayam sumber utama protein tetapi tindakan tegas tetap perlu dikenakan.
“Kita tak boleh jadikan ini sebagai alasan menidakkan hak kehidupan orang lain untuk menikmati hidup lebih baik. Untuk bergerak seiring, kita sedarkan mereka dengan keperluan mengurus persekitaran yang baik,” katanya.
Beliau juga memaklumkan terdapat 409 ladang ayam di sekitar negeri ini, sebanyak 235 daripadanya memiliki kebenaran sah manakala 174 lagi didapati beroperasi tanpa lesen.
Menurut Ir Izham, isu kawasan bukan tunjang masalah sebaliknya amalan pengurusan ladang secara sistematik menentukan tahap risiko pencemaran hingga menjejaskan penduduk setempat.
“Ada satu ladang di Sabak Bernam. Cantik, tertutup dan moden tetapi berdepan masalah lalat. Bila disiasat, kita dapati ladang ini tak amal tadbir urus baik terhadap pengurusan tinja.
“Ladang ini hampir tutup tetapi bila kita bantu, beri nasihat, ia kembali beroperasi. Tidak timbul isu pencemaran bau dan lalat. Itu yang kita mahu lakukan di semua ladang ayam,” katanya.
Sebelum ini, isu ladang penternakan ayam menimbulkan rungutan orang ramai ekoran berlaku pencemaran bau dan lalat di sekitar Kuala Langat dan Kuala Selangor hingga menjejaskan kualiti kehidupan mereka.
Bagi menangani masalah tersebut, Kerajaan Selangor mengadakan program pemutihan supaya penternakan itu dikumpul dalam satu kawasan dan menjalankan sistem pengurusan reban tertutup.
Berdasarkan jawapan bertulis Dewan Negeri Selangor tahun lalu, sebanyak 98 ladang ayam dikenal pasti beroperasi di Kuala Langat sama ada berskala kecil, sederhana dan komersial.
Sekurang-kurangnya lima ladang diarah tutup sementara pada tahun lepas kerana pengusaha tidak mematuhi keperluan pengurusan sisa, kawalan lalat dan syarat pelesenan.
Majlis Perbandaran Kuala Langat juga mengeluarkan ratusan notis pemberitahuan dan notis kesalahan dalam operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi berkaitan.








