SHAH ALAM, 4 JUN: Sebuah premis ladang ternakan ayam tanpa lesen di Jeram diserbu Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) selepas pemiliknya ingkar arahan menghentikan operasi dan mengosongkan premis.
MPKS dalam kenyataan memaklumkan hasil pemeriksaan di premis yang terletak di Jalan Raja Abdullah pada Rabu lalu itu mendapati pihak syarikat telah mengeluarkan serta mengosongkan ternakan ayam dari kawasan tersebut.
“Sebanyak lima blok ladang ternakan ayam telah dibersihkan sepenuhnya manakala tiga blok lagi masih dalam proses pembersihan.
“Beberapa tindakan penguatkuasaan diambil termasuk mengeluarkan kompaun kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen, menutup premis serta menyita 11 unit pam air dan sebuah forklift,” katanya menerusi Facebook.
MPKS berkata kompaun turut dikeluarkan atas kesalahan berkaitan kebersihan premis dan pelepasan sisa kumbahan ke dalam anak sungai selain tindakan semakan pemilikan meter serta pemotongan bekalan air dan elektrik turut dilaksanakan dalam operasi berkenaan.
Operasi tersebut melibatkan 46 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Air Selangor dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
MPKS menegaskan sebarang aktiviti perniagaan, perindustrian atau penternakan yang dijalankan tanpa kelulusan dan kebenaran sah merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.
Pihak berkuasa tempatan itu turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang, syarat lesen serta peraturan yang ditetapkan.
Menurut MPKS, operasi pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan pematuhan undang-undang selain melindungi kesejahteraan penduduk serta kelestarian alam sekitar di kawasan pentadbirannya.










