SHAH ALAM, 23 SEPT: Budaya alumni untuk menyumbang semula kepada universiti perlu diperkukuh bagi memberi manfaat lebih luas kepada mahasiswa.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan alumni tidak seharusnya tertumpu kepada kewangan semata-mata, sebaliknya turut meliputi beberapa aspek penting lain.
Menurut beliau, perkara itu antara fokus yang dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (PAUPM), hari ini.
“Pertemuan hari ini turut membincangkan usaha memperkukuh budaya alumni untuk menyumbang kembali kepada universiti, bukan sahaja melalui sumbangan kewangan, malah dalam bentuk kepakaran, masa, jaringan strategik, bimbingan serta peluang kepada para mahasiswa,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Amirudin yang juga alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) kelas 2002 dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial berkata, pengalaman di kampus banyak membentuk perjalanan dirinya.
“UPM cukup dekat di hati saya. Sebagai alumni kelas 2002 dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial, alam kampus menjadi medan yang banyak membentuk diri saya menerusi aktivisme mahasiswa dan dunia perdebatan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sejak diberi amanah sebagai Penaung PAUPM pada 2021, usaha mencurahkan khidmat bakti kepada alma mater (universiti) terus menjadi komitmennya.
“Semoga hubungan antara alumni dan universiti terus diperkasa demi melahirkan lebih ramai graduan yang berilmu, berdaya saing dan mampu berbakti kepada masyarakat serta negara,” katanya.








