SHAH ALAM, 23 SEPT: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengarahkan peniaga makanan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Pandamaran Jaya beredar selepas menerima aduan daripada ibu bapa.
MBDK menerusi Facebook memaklumkan aktiviti jualan di lokasi itu boleh menjejaskan keselamatan murid, kebersihan makanan serta kelancaran trafik ketika waktu pulang sekolah.
Menurutnya, peniaga makanan perlu mematuhi syarat kesihatan termasuk suntikan anti-tifoid dan Kursus Pengendali Makanan seperti ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Makanan yang terdedah kepada habuk, asap kenderaan dan haba di luar sekolah berisiko tercemar serta boleh menyebabkan keracunan makanan,” menurut kenyataan itu.
MBDK turut memaklumkan aktiviti jualan di hadapan pintu masuk sekolah boleh memburukkan kesesakan dan membahayakan murid yang melintas.
Susulan itu, tindakan koordinasi dibuat bersama Pengerusi JPKKP Pandamaran Jaya Hussain Salleh sebelum peniaga diberi nasihat dan amaran supaya beredar.
Semua peniaga terlibat akur dengan arahan berkenaan.
MBDK akan terus memantau lokasi itu dan tindakan penguatkuasaan akan diambil jika aktiviti sama berulang.








