Bapa menjerit diserang harimau, anak lari cari bantuan

22 Sep 2026, 5:24 AM
Bapa menjerit diserang harimau, anak lari cari bantuan

SHAH ALAM, 22 SEPT: “Saya dengar bapa menjerit, saya pusing belakang dan jerit. Selepas itu dia (harimau) tarik bapa saya.”

Itu detik ngeri yang disaksikan Joe Zamberi, 23, selepas bapanya, Zamberi Angah, diserang harimau ketika mencari hasil hutan di Kampung Takung, Pos Perwor, Sungai Siput, semalam.

Joe berkata dia bersama bapanya keluar mencari rotan di kawasan Hutan Simpan Korbu kira-kira 8 pagi sebelum mereka mengambil keputusan untuk pulang sekitar 3 petang.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan pulang, dia berjalan di hadapan manakala bapanya berada di belakang sebelum terdengar jeritan.

“Saya takut, lari dan terus panggil orang kampung,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Joe yang masih terkesan dengan kejadian itu turut sebak ketika ditanya mengenai hubungan dengan bapanya serta pesanan terakhir mangsa.

“Susah nak bercakap... tak boleh...,” katanya.

Mayat Zamberi ditemukan pada 6.58 petang semalam di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak, kira-kira 200 meter dari lokasi yang dipercayai berlaku serangan haiwan liar berkenaan.

Operasi pencarian membabitkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), polis, RELA, penduduk kampung dan pekerja pembalakan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.