SHAH ALAM, 30 SEPT: Kerajaan Negeri mempercepatkan usaha menyelesaikan isu tanah dan aset Orang Asli Kampung Desa Temuan, Bukit Lanjan yang berlarutan hampir tiga dekad sejak 1996.
EXCO Sumber Manusia, V Papparaidu berkata, antara langkah diambil ialah mendapatkan penjelasan terperinci daripada Pejabat Daerah dan Tanah Petaling mengenai status penyerahan tanah serta aset berkaitan kepada Kerajaan Negeri sebelum diserahkan untuk kegunaan masyarakat Orang Asli.
Menurut beliau, perkara itu turut dibincangkan bersama MK Land Holdings Berhad dan beberapa agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu berkenaan.
"Hasil perbincangan, kita dapat rumuskan bahawa dengan menyelesaikan isu penyerahan tanah dan aset kepada Orang Asli, seperti dewan, surau, muzium dan sebagainya.
"Saya ada minta Pejabat Tanah dapatkan maklumat lebih terperinci berhubung penyerahan tanah berkenaan kepada kita (Kerajaan Negeri) supaya kita dapat wartakan kawasan itu kepada Orang Asli," katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Sebelum ini, Papparaidu mempengerusikan perbincangan bersama MK Land Holdings Berhad dan agensi berkaitan bagi meneliti isu tanah, aset serta pampasan masyarakat Orang Asli Kampung Desa Temuan, Bukit Lanjan.
Turut hadir ADN Bukit Lanjan Pua Pei Ling, wakil Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Selangor dan Wilayah Persekutuan serta Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
Antara aset yang masih belum diserahkan di Damansara Perdana ialah Balai Adat dan Muzium, dewan, sembilan unit lot kedai, padang, surau serta tanah perkuburan, selain isu melibatkan kawasan Desa Riang Damai.
Isu pampasan turut akan disemak semula berdasarkan dokumen dan rekod terdahulu bagi memperjelas status penyerahan kepada masyarakat Orang Asli.
Papparaidu berkata, semakan itu perlu susulan wujud perbezaan kefahaman antara MK Land dan masyarakat Orang Asli berhubung pelaksanaan serta penyerahan pampasan berkenaan.
"Ada kekeliruan berlaku antara dua pihak tersebut, jadi saya dah minta pegawai berkaitan dapatkan dokumen berkaitan bagi mengesahkan jumlah pampasan yang telah dibayar atau masih ada baki yang tertangguk.
"Tanpa sebarang hitam, kita nak buat keputusan susah. Sebab itu, saya minta pegawai siasat perkara itu dan bagi pada saya," tambahnya.
Beliau berkata, penyelesaian isu berkenaan penting bagi memastikan hak dan aset masyarakat Orang Asli sentiasa terpelihara dan terus diberi perhatian.








