SHAH ALAM, 21 SEPT: Lelaki tempatan berusia 37 tahun ditahan selepas disyaki mencampak kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ke dalam sungai hingga maut di Kampung Padang, Tanjung Sedili, Kota Tinggi hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Yusof Othman berkata suspek ditahan selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 9.30 pagi.
Menurutnya, sebelum ditahan, suspek dipercayai mencampak mangsa ke dalam sungai sebelum bertindak mengamuk dengan bersenjatakan parang.
Suspek kemudian dipercayai mengejar seorang lelaki berusia 40 tahun dalam kejadian berkenaan.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Kuala Sedili pergi ke lokasi kejadian dan menahan suspek.
“Ketika tangkapan dilakukan, berlaku pergelutan yang menyebabkan seorang anggota polis cedera, namun suspek dapat ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.
Yusof berkata pembantu pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengesahkan kematian kanak-kanak terbabit.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pasir Gudang, esok untuk bedah siasat,” katanya.
Beliau berkata punca kejadian masih dalam siasatan dan suspek juga dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.







