Bapa saudara didakwa bunuh kanak-kanak lima tahun dengan campak ke sungai

28 Sep 2026, 6:02 AM
Bapa saudara didakwa bunuh kanak-kanak lima tahun dengan campak ke sungai

KOTA TINGGI, 28 SEPT: Penebar roti canai dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak saudara perempuannya di Kampung Padang, Tanjung Sedili di sini, minggu lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Abadi Mohd Yasro, 37, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Najihah Hamidi, memandangkan kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, bapa tiga anak itu didakwa membunuh Putri Nur Affiya Qhalhesya Shahrul, lima tahun pada 21 September lalu, kira-kira 8.20 pagi, di sebuah sungai di Kampung Padang, Tanjung Sedili, Kota Tinggi.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan, jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah dihukum sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nuraini Mohd Shapee memohon tertuduh dirujuk ke Hospital Permai Johor Bahru kerana disyaki mengalami masalah kesihatan mental.

Nur Najihah kemudian menetapkan 26 November depan sebagai tarikh baharu bagi pemeriksaan di Hospital Permai dan laporan bedah siasat.

Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemukan maut selepas dipercayai dicampak ke dalam sungai oleh bapa saudaranya di Kampung Padang, Tanjung Sedili di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata lelaki tersebut dipercayai mencampak mangsa ke dalam sungai sebelum mengamuk dan mengejar seorang lelaki berusia 40 tahun dengan bersenjatakan parang.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira 9.30 pagi dan sejurus tiba di lokasi kejadian, berlaku pergelutan antara polis dengan suspek sehingga menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan, namun suspek berjaya ditahan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.