Belanjawan Selangor 2027: Pembangunan sosial, naik taraf kemudahan keutamaan Batu Tiga

22 Sep 2026, 3:00 AM
Belanjawan Selangor 2027: Pembangunan sosial, naik taraf kemudahan keutamaan Batu Tiga
Belanjawan Selangor 2027: Pembangunan sosial, naik taraf kemudahan keutamaan Batu Tiga

SHAH ALAM, 22 SEPT: Pembangunan sosial di kawasan Batu Tiga perlu diberi keutamaan dalam Belanjawan Selangor 2027 berikutan kawasan berkenaan yang semakin tepu dan mempunyai keterbatasan tanah untuk pembangunan baharu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron berkata, tumpuan sewajarnya diberikan kepada usaha menaik taraf kemudahan sedia ada, termasuk pangsapuri, surau dan masjid yang telah dibangunkan sejak awal pembangunan Shah Alam.

Menurutnya, Batu Tiga kini tidak lagi mempunyai tanah simpanan yang mencukupi untuk pembangunan kemudahan baharu seperti sekolah, hospital dan masjid.

"Kawasan Batu Tiga sudah tepu, jadi saya lebih tumpu kepada pembangunan sosial.

"Kita tiada tanah simpanan untuk membina sekolah, hospital mahupun masjid baharu. Sebab itu saya juga tidak melihat kepada pembangunan infrastruktur yang besar-besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program SKOP Belanjawan Selangor 2027 terbitan Media Selangor, baru-baru ini.

Danial berkata, antara keutamaan ialah menaik taraf pangsapuri lama yang kebanyakannya telah berusia antara 30 hingga 40 tahun dan memerlukan penyelenggaraan serta penambahbaikan secara berterusan.

Katanya, kerja naik taraf boleh dilaksanakan menerusi Skim Ceria, termasuk penambahbaikan pada aspek fizikal bangunan seperti cat, tangki air dan bumbung.

"Contohnya menerusi Skim Ceria, macam mana kita boleh juga menambah baik ataupun meningkatkan infrastruktur pangsapuri-pangsapuri kita yang mungkin dilihat usang daripada bahagian luar.

"Mungkin ada juga perkara-perkara yang boleh kita laksanakan seperti tambah baik dari sudut cat ataupun tangki air ataupun bumbung dan sebagainya," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kerja naik taraf perlu dilaksanakan secara berperingkat mengambil kira keterbatasan peruntukan.

"Sudah tentu agak mustahil untuk memastikan semuanya menjadi baharu semula kerana peruntukan kita juga agak terhad.

"Setiap tahun sekurang-kurangnya 10 projek kecil akan saya laksanakan. Kita akan buat penilaian terhadap setiap permohonan dan cuba memenuhinya sebaik mungkin," katanya.

Menurutnya, pendekatan berkenaan bukan sahaja dapat meningkatkan keselesaan penduduk, malah memastikan kemudahan sedia ada terus berfungsi dengan baik dan memenuhi keperluan masyarakat di kawasan yang telah lama membangun.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.