PETALING JAYA, 23 NOV: Penubuhan Perbadanan Metropolitan Selangor dijangka meningkatkan daya saing wilayah serta menjadikan Selangor tumpuan pelabur antarabangsa bagi merancakkan pembangunan negeri.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon, berkata Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bersedia memudah cara penubuhan badan berkenaan dengan menyalurkan maklumat berkaitan kepada urusetia khas yang dilantik oleh Kerajaan Negeri.
“Ada urusetia khas yang sedang kaji perkara ini. Kita juga turut beri input (maklumat). Urusetia mahu kalau ada perkara yang boleh diselaras bersama seperti jaringan jalan raya.
“Sebagai contoh ada maklumat trafik yang diselaras supaya perjalanan itu akan jadi lebih cantik. Selepas ini juga semua pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat akan hadir taklimat khas hasil input urusetia tersebut,” katanya kepada Media Selangor, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Ekonomi Lestari di Car Boot Sale (CBS) Kota Damansara di sini, yang diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.
Pada Belanjawan Selangor 2026, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM3 juta bagi meneruskan Pembangunan Komprehensif Lembah Klang Raya Selangor (SGKV).
Beliau berkata Selangor turut meluluskan cadangan penubuhan Perbadanan Metropolitan Selangor melalui enakmen khas yang sedang disemak Kamar Penasihat Undang-undang Selangor untuk dibentangkan dalam sidang Dewan Negeri Selangor akan datang tertakluk kepada kelulusan Jabatan Peguam Negara.
Empat bandaraya yang terlibat dalam gabungan sebagai bandar metropolitan Lembah Klang Raya adalah Petaling Jaya, Shah Alam, Subang Jaya dan Klang.




