SHAH ALAM, 21 SEPT: Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dilaksanakan secara sederhana dengan mengutamakan kebersamaan serta impak kepada rakyat.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata pendekatan itu selaras dengan hasrat Baginda supaya sambutan berkenaan membabitkan pelbagai lapisan masyarakat di seluruh daerah.
“Tuanku mahu segala program yang dilaksanakan bersifat inklusif dan dapat melibatkan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk bersama-sama merasai dan menghayati makna sambutan tersebut.
“Baginda juga menekankan supaya sambutan dilaksanakan secara sederhana, namun tetap memberikan impak yang tinggi kepada rakyat selain memastikan setiap perbelanjaan dibuat secara berhemah, telus dan mengutamakan keperluan serta manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam segmen Temubual Khas sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan DYMM Sultan Selangor bersama Selangor FM, hari ini.

Menurut Ahmad Fadzli, keseluruhan perancangan program dibuat menerusi perbincangan bersama jabatan Kerajaan Negeri serta mendapat perhatian Baginda bagi memastikan setiap pengisian membawa manfaat kepada rakyat.
Katanya, antara golongan yang mendapat perhatian khusus Baginda ialah anak yatim menerusi program Kembara Semenanjung yang memberi peluang kepada mereka merasai pengalaman baharu termasuk menaiki pesawat.
“Tuanku memang memberi perhatian kepada golongan anak yatim. Seramai 149 anak yatim diberi pengalaman menaiki pesawat dari Subang ke Pulau Pinang dan kembali semula bersama beberapa artis.
“Pengalaman ini diharap dapat menyuntik motivasi kepada mereka untuk terus berusaha mencapai kejayaan, di samping membuka ruang untuk mereka meneroka dunia dan membina keyakinan diri melalui pengalaman yang mungkin tidak pernah dilalui sebelum ini,” katanya.
Jelas Ahmad Fadzli, sambutan Jubli Perak yang kini disusun menerusi 19 program turut membabitkan pelbagai kategori rakyat serta pengisian kemasyarakatan, keagamaan, sukan dan pembangunan bakat.
Beliau berkata acara kemuncak pada 25 Oktober nanti turut membabitkan Istiadat Pemasyhuran Gelaran dan Pengangkat Sumpah serta Menjunjung Duli Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor, selain Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor.
Katanya, acara berkenaan menjadi antara pengisian penting bagi menzahirkan penghargaan kepada individu yang telah menyumbang sepanjang 25 tahun pemerintahan Baginda selain mengiktiraf jasa dan komitmen mereka kepada negeri dan rakyat.
Dalam pada itu, Ahmad Fadzli berharap seluruh warga kerja Kerajaan Negeri dapat menjaga kesihatan dan memberikan komitmen terbaik sepanjang sambutan Jubli Perak yang disifatkannya sebagai pengalaman istimewa.








