KERALAM (INDIA), 14 SEPT: Penangguhan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dibuat berdasarkan prinsip negara hukum, Perlembagaan dan nasihat berkaitan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata peranan beliau dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan juga tertakluk kepada undang-undang dan panduan rasmi Peguam Negara.
“Namun, kita tahu juga ini budi bicara wewenang Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim) dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan dan tentunya (Yang di-Pertuan) Agong harus mengambil kira semua faktor,” katanya pada sidang akhbar bersama media Malaysia di Calicut di sini sebelum mengakhiri lawatan kerja lima hari ke India.
Beliau berkata isu pengampunan Najib tidak seharusnya dilihat secara peribadi sebaliknya dinilai berdasarkan prinsip undang-undang dan tatakelola negara.
“Bagi saya, dalam soal menjalankan tugas ini, kita harus tunduk pada prinsip negara hukum dan apa yang dipersetujui dalam Perlembagaan.
“Jadi, saya hanya beri pandangan begitu... saya tidak pernah mengambil sikap yang prasangka ataupun kebencian... tidak,” katanya.
Perdana Menteri berkata pertimbangan politik dan pandangan tegas pimpinan UMNO turut diambil kira dalam perkara itu namun beliau memilih untuk melaksanakan tanggungjawab berdasarkan prinsip yang dianggapnya betul.
“Saya tahu kalau jalan mudah apa dia, jalan susah apa dia tetapi saya ambil jalan yang saya anggap betul, ikut lunas hukum dan juga apa yang kita anggap penting dari segi semangat tatakelola dan hukum dalam negara,” katanya.
Jumaat lepas, Sultan Ibrahim memberi perkenan agar permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri selepas Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berlangsung di Istana Negara pada 11 September.
Pada 26 Disember tahun lepas, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad.







