Peguam: Najib tidak mampu bayar denda RM50 juta

25 Sep 2026, 4:19 AM
Peguam: Najib tidak mampu bayar denda RM50 juta

SHAH ALAM, 25 SEPT: Datuk Seri Najib Razak tidak mampu membayar denda RM50 juta yang menjadi antara syarat untuk menjalani baki hukuman penjara kes SRC International di bawah tahanan rumah, menurut peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Muhammad Shafee berkata bekas Perdana Menteri itu tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menjelaskan jumlah berkenaan.

“Setakat hari ini, Datuk Seri Najib sendiri tidak mampu membayarnya. Beliau tidak mampu membayar,” katanya kepada pemberita selepas prosiding mahkamah hari ini.

Menurutnya, akaun bank Najib turut dibekukan, termasuk akaun Affin Bank yang didakwa digunakan bagi menerima gaji ketika menjadi Perdana Menteri dan Ahli Parlimen.

Sebelum ini, firma guamannya memaklumkan sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah Najib masih tertakluk kepada perintah pembekuan serta tindakan penguatkuasaan kerajaan.

Muhammad Shafee turut menegaskan Najib tidak pernah meminta sumbangan orang ramai bagi membayar denda berkenaan.

Tambahnya, anak guamnya berdepan keadaan sukar kerana pembayaran itu merupakan antara syarat pengampunan, sedangkan beliau didakwa tidak mempunyai kemampuan kewangan.

“Dia serba salah sebab dia sepatutnya bayar, tetapi dia tidak ada duit,” katanya sambil mengakui tidak mengetahui jumlah sumbangan yang sudah diperoleh.

Dalam perkembangan berasingan, Muhammad Shafee berkata Najib masih belum menerima surat rasmi berhubung pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman kes SRC International di bawah tahanan rumah.

“Yang di-Pertuan Agong sudah membuat keputusan secara prerogatif, orang yang paling mustahak ialah Datuk Seri Najib sebab dia adalah orang yang dikenakan penjara, dikenakan penahanan rumah, tetapi hingga ke hari ini dia belum mendapat surat itu.

“Kita tak tahu, kenapa surat itu begitu lambat, penjara (Jabatan Penjara) pun tidak dapat,” katanya.

Jabatan Penjara sebelum ini memaklumkan belum menerima surat rasmi berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan, manakala pengampunan bersyarat yang diumumkan pada 18 September menetapkan pembayaran denda RM50 juta sebagai antara syarat sebelum pelaksanaan tahanan rumah.

“Hari kelapan, pelik. Kelewatan ini menjejaskan tindakan seterusnya pasukan guaman kerana kami tidak mengetahui syarat penuh yang terkandung dalam dokumen rasmi berkenaan,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.