SHAH ALAM, 4 OKT: Ibu dan kakak kepada Yap Shing Xuen memfailkan saman sivil terhadap beberapa pihak berhubung kematian pelajar Tingkatan Empat itu pada 14 Oktober tahun lalu.
Ibu mangsa memaklumkan tindakan undang-undang itu difailkan pada 1 Oktober menerusi Tetuan Surendra Ananth.
Saman itu menamakan beberapa agensi kerajaan, ibu bapa kepada remaja lelaki yang dikaitkan dengan kematian Shing Xuen serta remaja terbabit sebagai defendan.
Menurutnya, keluarga percaya tragedi itu boleh dielakkan sekiranya pihak berkaitan mengambil langkah sewajarnya, khususnya dalam menangani isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar.
“Ini bukan soal dendam. Ia adalah untuk memastikan pihak yang berkenaan dipertanggungjawabkan supaya kejadian sebegini tidak berulang kepada mana-mana kanak-kanak lain,” katanya seperti dilapor BH.
Beliau mendakwa agensi kerajaan yang dinamakan sebagai defendan gagal mengambil langkah pencegahan mencukupi bagi menangani isu kesihatan mental di sekolah sebelum keadaan menjadi lebih parah.
Ibu mangsa turut memaklumkan saman itu menamakan ibu bapa remaja terbabit sebagai defendan atas dakwaan terdapat tanda amaran awal, selain mereka mempunyai tanggungjawab memastikan anak tidak mencederakan orang lain.
“Isu-isu ini amat penting. Perbicaraan penuh wajar diadakan supaya segala persoalan ini dapat didengar dan diteliti oleh mahkamah dengan sewajarnya,” ujarnya.
Katanya, kes itu turut mengetengahkan keperluan pelaksanaan dasar berkaitan kesihatan mental secara menyeluruh dalam kalangan murid sekolah.
“Memandangkan cabaran kesihatan mental yang semakin meningkat di kalangan anak-anak kita hari ini, kita tidak boleh lagi terus berdiam diri.
"Kenyataan dan rancangan besar sahaja tidak memadai. Kita tidak boleh menunggu sehingga lebih banyak nyawa terkorban barulah tindakan sewajarnya diambil,” jelasnya.
Beliau turut mengenang kembali hari kejadian apabila Shing Xuen keluar ke sekolah pada 14 Oktober 2025 dengan harapan anaknya akan pulang seperti biasa.
“Tetapi pada hari itu, saya kehilangan seorang anak perempuan, dan anak sulung saya kehilangan adik perempuannya.
"Tiada ibu atau kakak yang patut melalui apa yang telah kami tempuhi. Kami mahu pihak yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan,” katanya.





