PETALING JAYA, 22 OKT: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas satu pertuduhan membunuh pelajar perempuan, dalam kejadian tikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini minggu lalu.
Suspek memakai baju lokap berwarna oren mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Amira Sariaty Zainal.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, remaja berkenaan didakwa membunuh mangsa dalam tandas pelajar perempuan sekolah itu antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi.
Suspek didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati namun bagi pesalah bawah umur, hukuman penjara tidak lebih 30 tahun jika sabit kesalahan.
Prosiding dijalankan secara tertutup mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan tertuduh diwakili peguam Anwar Ezzad Zainal.
Mahkamah menetapkan 21 November depan untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, remaja terbabit dibawa masuk ke bilik mahkamah kira-kira 10 minit lalu dengan menaiki kenderaan polis.
Dia diiringi beberapa anggota polis melalui laluan dalaman ke bilik mahkamah.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan pelajar lelaki terlibat dalam kes kematian pelajar wanita berusia 16 tahun akan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
Menurut AGC, keputusan itu dibuat setelah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian tersebut yang berlaku di sekolah menengah di Bandar Utama.
Katanya, hasil penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan mendapati terdapat asas yang mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap seorang pelajar lelaki yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja perempuan maut akibat ditikam di sekolahnya di Bandar Utama pada Selasa lalu.
Suspek yang juga rakan sekolah mangsa, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun, ditahan pada hari kejadian.
Polis turut merampas dua senjata tajam yang ditemui bersama suspek dan dipercayai digunakan dalam serangan tersebut.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata laporan awal bedah siasat yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mendapati, punca kematian mangsa disebabkan jumlah tikaman berulang kali pada bahagian dada dan leher.