SHAH ALAM, 19 JAN: Kerajaan Selangor akan melaksanakan program rintis intervensi awal di dua sekolah menengah di Bandar Utama bagi menyediakan sokongan emosi berasaskan rakan sebaya kepada pelajar.
Program itu turut melibatkan sebuah sekolah yang pernah menjadi lokasi kes pelajar perempuan maut ditikam rakan sekolah tahun lalu.
EXCO Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin berkata inisiatif dikenali sebagai PeerZ itu bertujuan melengkapi Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) sedia ada yang dikendalikan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).
Menurutnya, kebimbangan berkaitan keselamatan sekolah serta kekurangan sokongan kaunseling kepada pelajar telah dibangkitkan dalam satu pertemuan bersama wakil ibu bapa susulan insiden tragis berkenaan.
“PeerZ bertujuan menyediakan platform kepada pelajar untuk berkongsi pengalaman, cabaran serta tekanan emosi bersama rakan sebaya dalam persekitaran yang lebih selamat dan kondusif.
“Melalui pendekatan ini, pelajar yang memerlukan sokongan awal akan menerima bantuan emosi dan bimbingan daripada rakan sebaya sebelum dirujuk kepada pegawai kaunseling sekolah atau profesional kesihatan mental sekiranya intervensi lanjut diperlukan,” katanya seperti dilapor Malay Mail.
Jamaliah berkata, keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan pelajar kekal menjadi keutamaan Kerajaan Negeri dalam usaha mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selamat.

“Inisiatif ini akan memberi tumpuan kepada pendidikan kesedaran, sokongan rakan sebaya dan pembangunan kemahiran emosi sebagai sebahagian usaha membentuk persekitaran pembelajaran yang lebih sihat dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata, program rintis berkenaan dijangka dilaksanakan pada tahun ini, namun tiada garis masa khusus diumumkan setakat ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Jamaliah memaklumkan peruntukan bagi program kesihatan mental di bawah portfolio kesihatan awam meningkat lebih dua kali ganda.
Katanya, peruntukan itu naik daripada RM700,000 pada 2025 kepada RM1.5 juta pada 2026.
Peningkatan peruntukan tersebut membolehkan pelaksanaan program rintis serta intervensi sokongan kesihatan mental melibatkan pelajar dan guru.
Susulan insiden tragis itu, Kerajaan Negeri turut mengadakan Sesi Libat Urus Pengukuhan Keselamatan pada 19 November tahun lalu.
Sesi berkenaan dipengerusikan oleh Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari dan melibatkan wakil sekolah, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta agensi berkaitan.
“Usaha ini bertujuan memastikan langkah keselamatan dipertingkatkan dan kejadian seumpama ini tidak berulang,” katanya.



