SHAH ALAM, 20 SEPT: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI menyumbangkan lapan unit komputer riba kepada pelajar berkeperluan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik bagi menyokong keperluan pengajian mereka.
EXCO Belia Mohd Najwan Halimi berkata komputer riba merupakan antara keperluan penting bagi pelajar, namun tidak semua keluarga mampu menyediakannya.
“Mudah-mudahan usaha ini dapat meringankan beban ibu bapa yang kurang mampu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Najwan menghadiri Majlis Penyerahan Komputer Riba MBI DUN Kota Anggerik 2026 di pejabatnya pada 18 September lalu.
Beliau berkata penerima terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan kolej vokasional.
“Semoga usaha ini menjadi pemangkin semangat untuk para pelajar mencatat kejayaan dalam pengajian,” katanya.







