SHAH ALAM, 12 NOV: Pelbagai bantuan disalurkan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada golongan memerlukan dalam usaha memperkasa kesejahteraan rakyat negeri ini.
Sumbangan itu termasuk komputer riba dan kad SIM kepada 28 pelajar, agihan tunai kepada atlet negeri dan bantuan rawatan perubatan kepada dua individu menerusi Yayasan Penyayang.

“Setiap bantuan yang disalur bukan sekadar menyelesaikan keperluan semasa, tetapi diharap dapat memberi kesan jangka panjang terutama dalam pendidikan dan pembangunan insan,” kata Pengerusi Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor di sini, hari ini.
Dalam majlis sama, Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi Semenyih menerima sumbangan RM8,000 bagi membolehkan penyertaan dalam dua pertandingan antarabangsa – Prague Stars dan Budapest Ethno Fest.

Sementara itu, atlet bola tampar pantai Nor Farah Ain Abdullah diberikan RM10,000 atas kejayaan dinobat Pemain Terbaik Dunia serta persiapan menghadapi Piala Dunia 2025 dan Sukan Komanwel 2026.
Yayasan MBI turut menyalurkan RM1,990 kepada dua pesakit iaitu Shah Abdul Halim Ali dan Mustapa Sidek melalui Yayasan Penyayang bagi membantu menampung kos rawatan.
Yayasan MBI berperanan sebagai entiti kebajikan dan pendidikan di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri, dengan pelbagai program bantuan untuk memperkasakan rakyat secara inklusif dan menyeluruh.




