ad

28 pelajar terima komputer riba sumbangan Yayasan MBI, ADN Kota Anggerik

1 Nov 2025, 4:58 AM
28 pelajar terima komputer riba sumbangan Yayasan MBI, ADN Kota Anggerik
28 pelajar terima komputer riba sumbangan Yayasan MBI, ADN Kota Anggerik
28 pelajar terima komputer riba sumbangan Yayasan MBI, ADN Kota Anggerik

SHAH ALAM, 1 NOV: Seramai 28 pelajar menerima sumbangan komputer riba hasil inisiatif bersama Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik.

Ahli Dewan Negerinya (ADN) Mohd Najwan Halimi berkata, sebanyak 16 unit komputer riba disumbangkan oleh Yayasan MBI, manakala selebihnya disediakan pihaknya melalui peruntukan DUN.

“Kita amat menghargai dan ucapkan terima kasih kepada Yayasan MBI atas sumbangan ini. Saya berharap pelajar memanfaatkan sepenuhnya komputer riba tersebut untuk kecemerlangan akademik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan berkenaan di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kota Anggerik di sini, hari ini.

Puteri Nooriana Najwa Abd Majid, 18. - Foto Sheeda Fathil

Salah seorang penerima, Puteri Nooriana Najwa Abd Majid, 18, menyatakan rasa syukur apabila terpilih menerima sumbangan meskipun terpaksa menunggu agak lama.

“Terima kasih kepada YB (Yang Berhormat) dan Yayasan MBI. Walaupun prosesnya lama, saya faham ia memerlukan penelitian dan saya sangat bersyukur tergolong sebagai penerima.

"Saya akan memanfaatkan sebaik-baiknya komputer riba ini untuk belajar dengan lebih cemerlang,” katanya.

Pelajar Matrikulasi Selangor, Luqman Hakim Mohd Ahmad Kamal, 18.

Pelajar Matrikulasi Selangor, Luqman Hakim Mohd Ahmad Kamal, 18, turut berkongsi kegembiraan kerana tidak lagi perlu membebankan keluarga untuk memiliki komputer riba.

“Alhamdulillah, saya cuba memohon dan tidak sangka terpilih. Dengan bantuan ini, saya yakin lebih mudah menyiapkan tugasan pembelajaran,” ujar anak bongsu daripada sembilan beradik itu.

Sementara itu, guru Maahad Tahfiz Al Imam Al Adni, Seksyen 8, Muhammad Faiz Mohamad Nor berkata, sumbangan tersebut membolehkan pelajar tahfiz menjalankan urusan pengajian tanpa mengganggu komputer urusan pentadbiran.

“Sebelum ini kami hanya ada komputer untuk pengurusan. Kami tidak mahu mencampurkan antara urusan pentadbiran dan pembelajaran.

"Dengan sumbangan ini, ia membantu pelajar dalam pengajian mereka. Ini bermakna mereka bukan sahaja menghafaz al-Quran tetapi menitikberatkan penggunaan teknologi," katanya.