Kerajaan kekal dengan keputusan tidak ekstradisi Dr Zakir Naik ke India

3 Nov 2026, 2:10 AM
Kerajaan kekal dengan keputusan tidak ekstradisi Dr Zakir Naik ke India

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak mengekstradisi pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik ke India dan tidak memberikan sebarang komitmen untuk menyerahkan beliau kepada negara itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan hak Malaysia di bawah Artikel 6 Triti Ekstradisi Malaysia-India yang ditandatangani pada 2010, selain peruntukan Akta Ekstradisi 1992.

Menurutnya, kerajaan setakat ini tidak menerima sebarang permohonan ekstradisi baharu daripada India berhubung Dr Zakir.

Beliau berkata, permohonan rasmi daripada Kerajaan India sebelum ini diterima pada 19 Januari 2018, manakala nota diplomatik yang memohon pertimbangan semula diterima pada 29 Mei 2020.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Foto BERNAMA

“Kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak mengekstradisi Dr Zakir Naik ke India.

“Oleh itu, tiada sebarang komitmen diberikan untuk mengekstradisi beliau,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta penjelasan mengenai status terkini permohonan ekstradisi Dr Zakir oleh Kerajaan India, termasuk tarikh permohonan rasmi terbaharu diterima.

Ahmad Marzuk turut meminta penjelasan sama ada dokumen dan keterangan yang dikemukakan memenuhi kehendak Akta Ekstradisi 1992 serta perjanjian Malaysia-India, selain pendirian kerajaan berhubung penyerahan pendakwah itu kepada India.

Dr Zakir meninggalkan India pada Julai 2016 sebelum menetap di Malaysia. Kerajaan India kemudian mengemukakan permohonan rasmi ekstradisi pada 19 Januari 2018 bagi membawa beliau pulang ke negara itu.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 2019, kerajaan menjelaskan bahawa Akta Ekstradisi 1992 dan Artikel 6(1)(a) Triti Ekstradisi Malaysia-India memperuntukkan keadaan tertentu yang membolehkan permohonan ekstradisi ditolak, termasuk jika individu terbabit berisiko tidak mendapat perbicaraan yang adil atau berdepan penindasan atas faktor tertentu.

Pada September lalu, isu ekstradisi Dr Zakir turut dibincangkan dalam pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi, di New Delhi.

Anwar mengesahkan perkara itu dibincangkan, namun menegaskan Malaysia perlu mengambil kira prinsip kedaulatan undang-undang.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.