SHAH ALAM, 19 SEPT: Polis mengeluarkan 98 saman dan menyita enam motosikal dalam Op Pematuhan dan Op Motosikal di kawasan PRMM, Klang Selatan, hari ini.
Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Klang Selatan memaklumkan operasi itu membabitkan 11 pegawai dan anggota dengan pemeriksaan terhadap 101 individu serta 88 kenderaan.
"Antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, pengubahsuaian ekzos serta nombor pendaftaran kabur dan tidak mengikut spesifikasi.
"Susulan itu, pemeriksaan turut menemukan kesalahan berkaitan pengubahsuaian struktur serta peralatan kenderaan," katanya menerusi hantaran di Facebook.
BSPTD Klang Selatan memaklumkan operasi itu merupakan sebahagian daripada langkah penguatkuasaan berterusan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan.
Katanya, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan di kawasan yang dikenal pasti bagi meningkatkan pematuhan undang-undang lalu lintas serta menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.







