Salah guna lorong kecemasan, 120 pemandu disaman di Klang

2 Nov 2026, 12:24 PM
Salah guna lorong kecemasan, 120 pemandu disaman di Klang

PELABUHAN KLANG, 2 NOV: Polis mengeluarkan 120 saman lalu lintas kepada pemandu kenderaan yang didapati menggunakan lorong kecemasan di Jalan Pintasan Pelabuhan Utara/Pelabuhan Selatan berdekatan Taman Teluk Gedung Indah di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey berkata kesalahan itu dikesan melalui pelaksanaan operasi pematuhan yang dijalankan pihaknya menerusi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) selama tiga hari bermula pada Sabtu lepas.

Beliau berkata objektif utama operasi itu adalah untuk meningkatkan tahap pematuhan dan kesedaran pengguna jalan raya, terutama mereka yang sewenang-wenangnya menggunakan lorong kecemasan.

“Penggunaan lorong kecemasan bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi boleh menghalang pergerakan ambulans, jentera bomba dan pasukan keselamatan.

“Selain itu, ia membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain, terutama penunggang motosikal sehingga berlaku kemalangan,” katanya ketika ditemui Bernama pada operasi itu petang tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan Superintenden Kamalarifin Aman Shah dan Ketua BSPT Klang Selatan DSP Freedy Untun.

Lim berkata sebanyak 120 notis kepada pemandu kenderaan itu dikeluarkan mengikut Kaedah 53(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan mereka dikenakan kompaun RM300 serta tiada sebarang kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak terlibat.

“Selain penyalahgunaan lorong kecemasan, Jalan Pintasan Pelabuhan Utara/Pelabuhan Selatan ini antara lokasi kerap berlaku kemalangan melibatkan penunggang motosikal, terutama ketika waktu puncak pada sebelah pagi dan petang,” katanya.

Justeru, pihaknya akan melaksanakan operasi itu secara berterusan, selain turut mengenal pasti lokasi yang kerap berlaku kemalangan maut di sekitar kawasan Klang Selatan.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi peraturan lalu lintas, termasuk tidak menggunakan lorong kecemasan yang hanya dikhaskan untuk pasukan keselamatan,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.