Polis keluar 76 saman, sita tujuh motosikal dalam Op Motosikal di Puchong

22 Jun 2026, 2:31 AM
Polis keluar 76 saman, sita tujuh motosikal dalam Op Motosikal di Puchong

SHAH ALAM, 22 JUN: Polis mengeluarkan 76 saman atas pelbagai kesalahan trafik dan menyita tujuh motosikal dalam Op Sepadu (Op Motosikal) yang dijalankan di Jalan Jurutera, Kampung Seri Aman, Puchong semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata operasi yang dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Subang Jaya bersama Balai Polis Bukit Puchong itu bermula kira-kira jam 5.30 petang.

Menurutnya, operasi berkenaan bertujuan mengesan serta mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melakukan pelbagai kesalahan trafik dan aktiviti yang boleh membahayakan keselamatan pengguna lain.

“Sepanjang operasi dijalankan, seramai 85 individu dan 53 motosikal telah diperiksa.

“Sebanyak 76 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, manakala tujuh motosikal disita untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis memandang serius sebarang bentuk aktiviti samseng jalanan dan lumba haram kerana perbuatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mengakibatkan kemalangan serta kehilangan nyawa.

Katanya, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman pengguna jalan raya terus terpelihara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti lumba haram atau samseng jalanan diminta menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Subang Jaya di talian 03-7862 7222.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.