SHAH ALAM, 3 OGOS: Polis Kontinjen Terengganu mengeluarkan 1,850 saman atas pelbagai kesalahan sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0, selain menyita 222 motosikal mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta keselamatan pengguna jalan raya sepanjang program berkenaan.
Beliau berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu turut membuat enam tangkapan membabitkan empat lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang lelaki warga Singapura berusia 22 tahun.
“Mereka akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 di Mahkamah Majistret daerah tangkapan masing-masing.
“Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 serta tidak melebihi RM15,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini, lapor Berita Harian.
Mohd Khairi berkata, 29 kes kemalangan jalan raya direkodkan sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0 berbanding 11 kes pada penganjuran 2025.
Menurutnya, daripada jumlah itu, lima kes kemalangan maut membabitkan lima kematian dicatatkan tahun ini, berbanding dua kes kemalangan maut pada penganjuran tahun lalu.
Bagi kes jenayah pula, beliau berkata empat kes direkodkan sepanjang program berkenaan berbanding enam kes pada RXZ Members 7.0 tahun lalu, termasuk satu kes curi motosikal.
Selain itu, katanya, polis turut menjalankan 15 pemeriksaan berkaitan kes dadah dengan tiga individu ditahan kerana disyaki terbabit dalam kesalahan berkenaan.






