Selangor mahu teraju khazanah ilmu turath Nusantara

19 Sep 2026, 6:39 AM
Selangor mahu teraju khazanah ilmu turath Nusantara
Selangor mahu teraju khazanah ilmu turath Nusantara
Selangor mahu teraju khazanah ilmu turath Nusantara

PUTRAJAYA, 19 SEPT: Selangor berhasrat menjadi antara peneraju dalam mengangkat khazanah turath, sekali gus menjadi jambatan yang menghubungkan kekuatan tradisi keilmuan Islam di rantau Nusantara.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu penting bagi mengetengahkan kekayaan sejarah intelektual Islam di rantau ini serta menghidupkan kembali tradisi keilmuan yang pernah berkembang pesat.

“Jangan kita anggap sejarah ilmu Islam hanya terletak di Timur Tengah. Nusantara sendiri mempunyai sejarah intelektual yang sangat kaya. Melaka pernah menjadi pusat pertemuan dunia. Aceh, Jawa dan Pattani pernah menjadi pusat penghasilan ilmu.

“Kita mempunyai nama-nama besar seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Sheikh Daud al-Fatani, Sheikh Nawawi al-Bantani dan ramai lagi.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Perasmian Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada 19 September 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Kita perlu kembali meneliti mereka, bukan sekadar untuk berbangga bahawa kita pernah mempunyai ulama besar, tetapi untuk memahami bagaimana masyarakat Nusantara pada suatu ketika dahulu membina pendidikan, pemerintahan, pemikiran, budaya dan kehidupan beragama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan sempena Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) 2026 di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam majlis sama, Amirudin turut mengikuti Forum Muzakarah Ulama Turath yang menampilkan bekas Mufti Agung Mesir, Syeikh Prof Dr Ali Jum’ah dan ulama terkemuka Maghribi, Syeikh Prof Dr Sayyid Idris al-Fasi al-Fihri.

Amirudin berkata perkembangan Festival Turath Islami daripada peringkat Selangor ke pentas nasional membawa tanggungjawab lebih besar untuk mengarusperdanakan tradisi ilmu Islam dalam kehidupan masyarakat.

Menurutnya, usaha itu juga perlu mendekatkan ilmu turath kepada generasi muda serta menterjemahkan khazanah tersebut supaya relevan dalam menjawab persoalan semasa.

Majlis Perasmian Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada 19 September 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Bagi saya, perubahan ini bukan sekadar pertukaran nama. Ia ialah pertambahan amanah. Apa yang dahulu kita usahakan di Selangor kini kita buka seluas-luasnya kepada Malaysia dan kita berharap Malaysia pula dapat menjadi jambatan kepada dunia Islam dan dunia Nusantara,” katanya.

FTIM 2026 yang bertemakan Hikmah Warisan Islam berlangsung dari 13 hingga 20 September dengan 42 acara, selepas lokasi penganjurannya dipindahkan dari Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam ke Masjid Putra, Putrajaya.

Festival berkenaan turut menghimpunkan 23 tokoh tempatan dan antarabangsa, manakala program sepanjang penganjurannya disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.