Kitab Al-Hikam bina keteguhan jiwa, jawab persoalan zaman

14 Sep 2026, 1:00 AM
Kitab Al-Hikam bina keteguhan jiwa, jawab persoalan zaman
Kitab Al-Hikam bina keteguhan jiwa, jawab persoalan zaman
Kitab Al-Hikam bina keteguhan jiwa, jawab persoalan zaman
Kitab Al-Hikam bina keteguhan jiwa, jawab persoalan zaman
Kitab Al-Hikam bina keteguhan jiwa, jawab persoalan zaman

PUTRAJAYA, 14 SEPT: Kitab Al-Hikam diangkat dalam Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) 2026 kerana kandungannya relevan dalam membina keteguhan jiwa dan keimanan umat meskipun dianggap sebagai karya yang berat untuk difahami.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata karya Ibn Atha'illah al-Iskandari itu menyentuh persoalan hati, hubungan manusia dengan Allah SWT serta keseimbangan antara tawakal dan ikhtiar dalam kehidupan.

"Ada yang mempertikai, ada yang mempersoal, ada yang membangkitkan kenapa kita bawakan hal ini? Kitab Al-Hikam ini terlalu berat, orang tidak boleh terima, orang tidak boleh angkat.

"Tetapi ini persoalan zaman, persoalan ketika ini. Di mana lagi kita harus memberi jawapan kecuali keteguhan jiwa, iman di dada dan juga akal fikiran yang dipandu dengan iman yang betul," katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Festival Turath Islami Malaysia 2026 di Masjid Putra, Putrajaya pada 13 September 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Festival Turath Islami Malaysia 2026 di Masjid Putra, di sini malam tadi.

Amirudin berkata Kitab Al-Hikam bukan sesuatu yang asing dalam masyarakat kerana karya Ibn Atha'illah itu turut diajarkan di surau dan masjid termasuk di Selangor.

"Kali ini kita bawakan Kitab Al-Hikam yang turut popular diajarkan di surau dan masjid termasuk di negeri Selangor kerana bagi saya ini adalah persoalan zaman ini yang perlu kita tangani dan hadapi sesuai dengan persoalan semasa dan kehidupan semasa.

"Penting untuk kita menyemai kembali, membaca kembali hikmah di dalam jiwa dan hati masyarakat umat pada hari ini, selain diteruskan dengan ilmu pengetahuan, maklumat dan data yang ada," ujarnya.

Menurut Amirudin, pengajian Al-Hikam bukan sekadar memperkenalkan karya ulama terdahulu, sebaliknya mengajak masyarakat memahami hubungan dengan kehidupan dunia serta kebergantungan kepada Allah SWT.

Pada masa sama katanya, penghayatan kitab berkenaan menekankan tawakal kepada Allah SWT perlu disertai usaha dan ikhtiar dalam menjalani kehidupan.

"Ia bersoal tentang hati kita ini milik siapa. Adakah kita memiliki dunia atau dunia memegang kita?

"Di saat kita bergantung dengan Allah SWT, bagaimana ikhtiar kita berterusan, bagaimana kita hubungkan gabungan tawakal dan kudrat ataupun kekuatan ikhtiar yang ada di tangan manusia dengan langkah-langkah yang sebetulnya ataupun langkah yang sepatutnya kita lakukan," katanya.

Antara jemaah yang hadir ketika Festival Turath Islami Malaysia 2026 di Masjid Putra, Putrajaya pada 13 September 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata pengajian turath perlu diperluas supaya masyarakat bukan sahaja mengenali tokoh seperti Al-Ghazali, Jalaluddin As-Suyuti dan Ibn Atha'illah, malah memahami kandungan serta hikmah karya mereka untuk diterapkan dalam kehidupan.

FTIM 2026 bertemakan Hikmah Warisan Islam berlangsung dari 13 hingga 20 September dengan 42 acara di Masjid Putra, Putrajaya.

Festival itu menampilkan 23 tokoh tempatan dan antarabangsa termasuk bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Jum’ah serta ulama Maghribi Prof Dr Sayyid Idris al-Fasi al-Fihri.

Festival Turath yang sebelum ini dikenali sebagai Festival Turath Islami Selangor (FTIS) yang dianjurkan di negeri itu kini diperluas ke peringkat kebangsaan menerusi penganjuran FTIM buat julung kali di Putrajaya.

Jemaah hadir dalam tausiyah perdana ketika Festival Turath Islami Malaysia 2026 di Masjid Putra, Putrajaya pada 13 September 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.