PUTRAJAYA, 16 SEPT: Penganjuran Festival Turath Islami tahun depan akan dirancang lebih awal bagi meningkatkan kualiti program selain membuka ruang penglibatan lebih banyak pihak.
Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perancangan itu turut mengambil kira pemilihan lokasi yang lebih sesuai susulan sambutan positif terhadap Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) tahun ini.
"Maklum balas terhadap Festival Turath Islami juga sangat baik, saya dapat maklumat yang sangat positif.
"Insya-Allah tahun hadapan kita akan bermula awal untuk merancang program yang lebih berkualiti dan mungkin boleh melibatkan lebih ramai pihak termasuk menyediakan ataupun memikirkan venue yang lebih sesuai dengan semua pihak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Festival Buku Islami yang merupakan antara pengisian FTIM 2026 di Masjid Putra, di sini, hari ini.

Amirudin berkata Putrajaya dan Shah Alam antara lokasi yang dipertimbang untuk penganjuran festival berkenaan tahun depan, bergantung kepada kesesuaian program yang dirancang.
"Setakat ini nampaknya di Putrajaya juga baik, di Shah Alam juga baik. Kita tengok nanti ikut kesesuaiannya, ikut daripada apa rencana yang telah dirancang khususnya kalau kita nak laksanakan tahun hadapan," ujarnya.
Pada majlis sama, beliau turut melancarkan buku Pedoman Buat Muda-Mudi Muslim karya sarjana Islam Seyyed Hossein Nasr yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.
"Tahun ini sempena dengan perasmian itu kita turut melancarkan buku Pedoman Buat Kaum Muda Islam atau Muda-Mudi Islam Mengharungi Dunia Moden yang dituliskan oleh Prof Seyyed Hossein Nasr pada tahun 1994.
"Buku ini merupakan antara ratusan buku yang telah mula diterjemahkan oleh InIDE dan mungkin boleh menjadi pedoman kepada masyarakat pada hari ini," katanya.
FTIM 2026 bertemakan Hikmah Warisan Islam berlangsung dari 13 hingga 20 September dengan 42 acara selepas lokasi penganjurannya dipindahkan dari Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam ke Masjid Putra, Putrajaya.

Festival berkenaan menampilkan 23 tokoh tempatan dan antarabangsa termasuk bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Jum’ah serta ulama Maghribi Prof Dr Sayyid Idris al-Fasi al-Fihri.
Program berkenaan turut disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial sepanjang penganjuran.







