Festival Turath Islami Malaysia buka ruang masyarakat berguru terus dengan ulama

11 Sep 2026, 9:00 AM
Festival Turath Islami Malaysia buka ruang masyarakat berguru terus dengan ulama
Festival Turath Islami Malaysia buka ruang masyarakat berguru terus dengan ulama
Festival Turath Islami Malaysia buka ruang masyarakat berguru terus dengan ulama
Festival Turath Islami Malaysia buka ruang masyarakat berguru terus dengan ulama

SHAH ALAM, 11 SEPT: Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) membuka ruang kepada masyarakat awam untuk berguru secara langsung dengan ulama, sekali gus membawa tradisi pengajian ilmu turath keluar daripada kelompok agamawan kepada khalayak lebih luas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata festival itu memberi peluang kepada orang ramai bertemu dan menuntut ilmu secara bersemuka dengan ulama, termasuk memahami hubungan guru dan murid serta kesinambungan sanad dalam tradisi keilmuan Islam.

Justeru, Senator Dr Zulkifli Hasan mengalu-alukan masyarakat hadir ke FTIM yang berlangsung dari 13 hingga 20 September ini di Masjid Putra, Putrajaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan. Foto BERNAMA

“FTIM ini bukan untuk para ustaz sahaja, bukan untuk para imam sahaja, sebaliknya ia untuk masyarakat awam, untuk semua supaya kita dapat membudayakan dan semua orang ada akses kepada ilmu turath.

“Kita berpeluang untuk berguru dengan maha guru, dari kulit ke kulit.

“Kalau kita selama ini mengaji di masjid, kadangkala dipimpin oleh guru tetapi ini oleh maha guru. Jadi datanglah beramai-ramai untuk menuntut ilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung menerusi program Selamat Pagi Malaysia di RTM1 bagi menguar-uarkan FTIM 2026, Hikmah Warisan Islam, hari ini.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan festival turut diperluas bagi mendekati pelbagai kelompok masyarakat termasuk generasi Z, Alfa dan Beta.

Katanya, penyertaan pendakwah popular serta penggunaan kandungan yang disesuaikan dengan cara generasi muda mendapatkan maklumat diharap dapat menjadikan ilmu agama lebih mudah diakses.

Menurutnya, sesi daurah yang panjang juga akan diolah kepada kandungan lebih pendek menerusi pasukan media sosial supaya golongan muda lebih mudah mengakses dan memahami ilmu agama.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Minat dan kecenderungan terhadap agama itu tinggi, cuma pintu dan pendekatannya itu bagaimana.

“Itulah yang cuba diterjemahkan dalam Festival Turath supaya anak-anak muda dan mereka yang berminat dengan agama mempunyai kesedaran tentang Islam dan agama, serta dididik dengan angle dan kaedah yang betul,” katanya.

FTIM 2026 yang bertemakan Hikmah Warisan Islam berlangsung dari 13 hingga 20 September dengan 42 acara, selepas lokasi festival dipindahkan dari Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam ke Masjid Putra, Putrajaya.

Festival itu menampilkan 23 tokoh tempatan dan antarabangsa termasuk bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah dan ulama terkenal Maghribi, Prof Dr Sayyid Idris al-Fasi al-Fihri.

Dalam pada itu, Zulkifli menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Selangor atas kerjasama dan kesediaan memberi ruang kepada Kerajaan Persekutuan untuk bersama-sama menganjurkan festival berkenaan tahun ini.

FTIM turut memperkenalkan Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan yang menghimpunkan kira-kira 200 ulama dari seluruh negara bagi membincangkan pelbagai isu termasuk cabaran ummah.

Selain sesi pengajian dan syarahan, festival itu turut menampilkan Pasar Buku, Rakan Buku, bengkel, aktiviti kanak-kanak, tayangan video dan ruang bacaan bagi memberikan pengalaman ilmu yang lebih menyeluruh kepada pengunjung.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.