MB: Umat Islam perlu teladani nilai, perjalanan ulama terdahulu

19 Sep 2026, 4:00 AM
MB: Umat Islam perlu teladani nilai, perjalanan ulama terdahulu
MB: Umat Islam perlu teladani nilai, perjalanan ulama terdahulu
MB: Umat Islam perlu teladani nilai, perjalanan ulama terdahulu

PUTRAJAYA, 19 SEPT: Umat Islam tidak seharusnya sekadar mengagumi karya dan perjalanan ulama terdahulu, sebaliknya perlu mengambil hikmah serta mengamalkan pengajaran mereka dalam kehidupan seharian, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perjalanan intelektual dan kerohanian para ulama wajar dijadikan inspirasi kepada umat Islam hari ini untuk menghayati nilai yang terkandung dalam karya mereka.

“Kita harus mengambil hikmah dan pengajaran daripada perjalanan para ulama termasuk Ibn Ataillah. Sebelum ini, kita mengetengahkan Imam al-Nawawi, selain pengalaman al-Suyuti, Imam Malik dan al-Ghazali.

“Mereka melalui perjalanan yang panjang dan laluan kerohanian yang mendalam, dengan berzikir, bertafakur serta melalui pelbagai proses mendalam yang akhirnya melahirkan hikmah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Daurah Al-Hikam sempena Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) 2026 di Masjid Putra di sini malam tadi.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui ketika program Daurah Al-Hikam sempena Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) 2026 di Masjid Putra, Putrajaya pada 18 September 2026. — Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Program berkenaan menampilkan bekas Mufti Agung Mesir, Prof Ali Jum’ah dan Naib Rektor Universiti al-Qarawiyyin, Maghribi, Prof Sayyid Idris al-Fasi al-Fihri.

Amirudin berkata karya ulama terdahulu tidak seharusnya hanya dilihat sebagai catatan sejarah, sebaliknya perlu menjadi panduan dalam membentuk nilai dan amalan masyarakat.

Ketika ditemui selepas program, beliau berkata festival itu merupakan sebahagian usaha untuk mempromosi serta memelihara warisan keilmuan Islam di Selangor dan Malaysia.

Menurutnya, program berkenaan juga bertujuan memperkenalkan semula aspek warisan Islam yang mungkin semakin dilupakan, termasuk kaedah pembelajaran tradisional dan amalan keagamaan.

“Pengajian turath bukan sekadar mengenai turath itu sendiri, tetapi juga kaedah pembelajaran tradisional, di samping amalan zikir dan selawat.

“Semuanya mempunyai peranan dan kekuatan tersendiri. Ia pernah menjadi sumber kekuatan pada masa lalu yang mahu kita hidupkan kembali,” katanya kepada Media Selangor.

Amirudin turut merakamkan penghargaan kepada Ali Jum’ah atas perkongsian ilmu dan pandangan mengenai Kitab al-Hikam, selain menghargai penyertaan ulama dari Indonesia dalam festival berkenaan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.