Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan himpun 150 ilmuwan, meriahkan Festival Turath Islami Selangor

28 Jul 2026, 12:00 PM
Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan himpun 150 ilmuwan, meriahkan Festival Turath  Islami Selangor
Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan himpun 150 ilmuwan, meriahkan Festival Turath  Islami Selangor

SHAH ALAM, 28 JULAI: Festival Turath Islami Selangor (FTIS) 2026 buat julung kalinya bakal menganjurkan Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan, yang akan mempertemukan hampir 150 ilmuwan Islam dari seluruh negara.

Dato’ Menteri Besar berkata muzakarah itu akan menjadi wadah penting bagi memantapkan kerjasama intelektual dalam kalangan cendekiawan Islam, selain mencari solusi terhadap cabaran yang dihadapi umat Islam masa kini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata muzakarah tersebut yang dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, antara lain akan membincangkan perkembangan pendidikan Islam dan pengajaran Islam di negara ini.

“Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan melibatkan ulama-ulama Islam daripada seluruh negeri di Malaysia akan membincangkan secara mendalam berkenaan perkembangan dalam Islam dan juga perkembangan Islam secara keseluruhan.

“Kita juga akan melihat kepada perkembangan pendidikan Islam dan juga pengajaran Islam dan bagaimana untuk menyemarakkan lagi (pendidikan dan pengajaran Islam) dengan pandangan ulama. 

“Sebab kita ada dua kutub, kutub yang besar dengan kaedah pendidikan formal, di sekolah, universiti, madrasah dan juga ada pendidikan informal yang berlaku di pondok dan pusat pengajian yang mungkin tidak mempunyai silibus yang konsisten atau tersusun sebagaimana pendidikan formal,” katanya.

Pelajar tahfiz ketika majlis Graduasi Qurra' Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Kali Ke-13 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 30 April 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Ditemui pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat FTIS 2026 di Shah Alam, hari ini, Amirudin berkata penyatuan fikrah dan pemikiran dalam kalangan ilmuwan diperlukan bagi mengembangkan ilmu serta mengelakkan kecelaruan dalam masyarakat.

Katanya, muzakarah itu turut menjadi ruang untuk memperkasakan peranan pendakwah dan asatizah - kumpulan ustaz dan ustazah- dalam mendidik masyarakat dalam berdepan cabaran semasa.

“Jadi muzakarah ini penting, ada pendekatan yang berbeza, ada cara dan fokus yang tertentu. Jadi kita nak meraikan serta menggalakkan mereka duduk sendiri berbincang bagaimana ilmu pengajaran Islam dapat memperkasakan mereka. 

“Selain itu, sudah pasti kita akan membincangkan hal ummah, masyarakat, supaya para daie, asatizah ataupun mereka yang akan menyebarkan dakwah, menyebarkan ilmu yang sewajarnya dalam mendidik masyarakat yang berdepan dengan cabaran mutakhir ini,” katanya.

Orang ramai yang hadir pada program Darul Ehsan Berselawat 8.0 sempena Festival Turath Islami Selangor 3.0 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 19 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

FTIS 2026 akan berlangsung bermula 13 hingga 20 September ini sebagai kesinambungan manifestasi Kerajaan Negeri untuk memperkukuh masyarakat berilmu berteraskan warisan intelektual Islam.

Amirudin berkata FTIS 2026 yang mengangkat tema Hikmah Warisan Islam itu akan mengetengahkan kitab Al-Hikam al-Ata’iyyah karya tokoh besar tasawuf Islam, Ibnu Atha-illah As-Sakandari.

Festival itu turut menampilkan 23 tokoh ulama tempatan dan antarabangsa termasuk bekas mufti besar Mesir Syeikh Dr. Ali Jum’ah, ulama terkemuka Maghribi Prof. Dr. Sayyid Idris al-Fasi al-Fihri; Ustaz Dr. Adi Hidayat (sarjana ilmu al-Quran dan Hadis Indonesia); Ustaz Wadi Annuar serta Mufti Selangor Dato' Setia Dr. Anhar Opir.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.