SHAH ALAM, 19 SEPT: Peranan media sebagai penghubung antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan masyarakat penting dalam memastikan maklumat pembangunan, perkhidmatan serta isu semasa disampaikan dengan tepat.
Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Zabidah Safar berkata media membantu masyarakat memahami pelbagai perkembangan serta usaha yang dilaksanakan PBT untuk kepentingan penduduk.
“Peranan media sangat penting kepada majlis dan rakyat kerana media memberikan maklumat supaya masyarakat faham mengenai sesuatu perkara.
“Setiap laporan dan liputan perlu dibuat secara berintegriti dan bertanggungjawab bagi memastikan maklumat yang disampaikan kepada masyarakat tepat dan jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Malam Gala Sinergi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Media 2025 di Hotel Hilton, Glenmarie, di sini, semalam.
Menurut Zabidah, MBSA sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan media termasuk memberikan maklum balas serta penjelasan berhubung sesuatu isu yang dibangkitkan.
Katanya, platform berkenaan diharap dapat mengeratkan hubungan dan memperkukuh kerjasama antara MBSA dengan pengamal media pada masa akan datang.
Malam Gala Sinergi MBSA dan Media 2025 diadakan sebagai tanda penghargaan kepada pengamal media yang selama ini membuat liputan serta menyampaikan pelbagai perkembangan berkaitan pentadbiran PBT berkenaan.
Kerjasama berkenaan turut membantu memastikan maklumat mengenai program, inisiatif dan perkhidmatan MBSA dapat disampaikan kepada masyarakat selain meningkatkan kefahaman penduduk mengenai usaha penambahbaikan yang dilaksanakan.









