SHAH ALAM, 19 SEPT: Orang ramai diingatkan tidak menggunakan pelitup muka biasa yang digunakan ketika pandemik Covid-19 untuk melindungi diri daripada jerebu kerana ia tidak direka untuk menapis partikel halus pencemar udara.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata pelitup muka jenis N95 lebih sesuai digunakan ketika cuaca jerebu terutama oleh kanak-kanak yang bersekolah dan individu yang kerap melakukan aktiviti luar.
“Kenapa perlu pelitup jenis ini? Ini kerana partikel jerebu jauh lebih halus berbanding titisan pernafasan yang menjadi fokus utama pelitup muka ketika pandemik Covid-19, sekali gus perlukan perlindungan dengan keupayaan penapisan lebih tinggi.
“Pelitup muka N95 juga perlu dipakai dengan sempurna dan tidak longgar bagi memastikan udara yang disedut melalui bahagian penapisan, bukannya masuk melalui ruang di sekeliling muka,” katanya kepada Media Selangor.

Dr Ummi juga menggesa orang ramai supaya tidak mengambil mudah keadaan hujan ketika jerebu dengan menganggapnya sebagai peluang untuk bermain atau melakukan aktiviti di luar rumah.
Beliau berkata hujan ketika keadaan berjerebu membawa bersama partikel dan bahan pencemar yang berada di udara, sekali gus memerlukan orang ramai perlu kekal berada di dalam bangunan.
“Jangan main hujan ketika musim jerebu. Kita mungkin gembira apabila hujan turun kerana menyangka ia terus membersihkan udara, tetapi ketika itu pelbagai partikel yang terapung di udara boleh turut berada dalam air hujan.
“Jadi kekal di dalam rumah dan elakkan aktiviti luar. Jangan pula ketika jerebu kita sibuk hendak mencuci longkang atau melakukan aktiviti di luar,” katanya lagi.
Pada masa sama, orang ramai juga disaran mengelakkan aktiviti fizikal seperti bersenam di luar rumah serta tidak membawa kanak-kanak bermain di taman atau kawasan terbuka sepanjang keadaan jerebu.
“Pengambilan air yang mencukupi penting bagi membantu mengurangkan ketidakselesaan seperti sakit tekak, selain memastikan badan kekal terhidrat.
“Mereka yang terdedah lama di luar rumah pula dinasihatkan membersihkan muka dengan baik selepas pulang bagi menanggalkan habuk dan bahan pencemar yang melekat pada kulit,” katanya.











