Jerebu Selangor: Lebih 200,000 pelitup muka diagih kepada 947 sekolah

12 Okt 2026, 6:58 AM
Jerebu Selangor: Lebih 200,000 pelitup muka diagih kepada 947 sekolah
Jerebu Selangor: Lebih 200,000 pelitup muka diagih kepada 947 sekolah
Jerebu Selangor: Lebih 200,000 pelitup muka diagih kepada 947 sekolah

SHAH ALAM, 12 OKT: Lebih 200,000 pelitup muka akan diagihkan kepada 947 sekolah di Selangor sebagai langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan murid susulan jerebu yang melanda negeri ini.

EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi berkata sumbangan itu diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor untuk diedarkan ke sekolah menerusi pejabat pendidikan daerah (PPD) masing-masing.

Menurutnya, Kerajaan Negeri menggalakkan murid memakai pelitup muka sebagai langkah perlindungan meskipun pemakaiannya tidak diwajibkan.

“Walaupun tidak diwajibkan oleh kerajaan, kita galakkan pelajar dan murid memakai pelitup muka.

“Sebab itu Kerajaan Negeri menyumbang pelitup muka ini untuk diselaraskan pengagihannya ke sekolah yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Pelitup Muka kepada JPN Selangor di lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

EXCO Belia Mohd Najwan Halimi bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Pelitup Muka kepada JPN Selangor di lobi bangunan SUK Selangor pada 12 Oktober 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Najwan berkata sumbangan yang disampaikan bagi pihak Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari itu merupakan inisiatif Unit Pengurusan Bencana Negeri.

Menurutnya, pelaksanaan inisiatif itu mendapat sokongan Yayasan Menteri Besar Selangor (MBI), Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dan Kerajaan Negeri.

Beliau berkata pihaknya turut mendapatkan perkembangan terkini daripada JPN Selangor mengenai keadaan murid dan situasi jerebu di sekolah seluruh negeri.

Dalam perkembangan sama, Najwan berkata Kerajaan Negeri boleh mempertimbangkan penetapan tempoh pemakluman lebih awal sekiranya sekolah perlu ditutup akibat jerebu.

Menurutnya, langkah itu bagi memberi ruang kepada ibu bapa membuat persediaan sekiranya keadaan kualiti udara semakin buruk.

Beliau turut berharap keadaan jerebu segera pulih supaya sesi persekolahan dapat diteruskan tanpa menjejaskan kesihatan dan keselamatan murid.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.