PETALING JAYA, 18 SEPT: Kerajaan Selangor sedang mengkaji cadangan menyediakan pelitup muka boleh guna semula kepada pelajar sebagai langkah berwaspada menghadapi keadaan jerebu.
EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata perkara itu sudah dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan turut mendapat perhatian Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.
“Jadi, setakat ini Kerajaan Negeri masih mengumpul maklumat termasuk jenis pelitup muka yang sesuai untuk diedarkan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan. Nanti sekiranya sudah ada keputusan kita akan maklumkan.
“Antara cadangannya adalah supaya kita bukan buat satu program one-off, sebaliknya pengedaran pelitup muka kain yang boleh dicuci semula dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Kempen Sifar Buli Negeri Selangor 2026 - Majlis Pelancaran Inisiatif Hab Rakan Sokongan SEHAT & Talian Belia SEHAT yang disempurnakan oleh Pengerusi KASIH Malaysia Dato' Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail di M World Hotel, di sini, hari ini.
Jamaliah berkata keputusan berkaitan perkara itu turut mengambil kira keadaan jerebu serta keperluan semasa, memandangkan tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) sukar diramal.
Katanya, keadaan jerebu juga bergantung kepada faktor termasuk aktiviti pembakaran terbuka secara haram sama ada di dalam atau luar negara.
Sementara itu, berdasarkan maklumat yang diterima Kerajaan Negeri, keadaan IPU dijangka bertambah baik dalam beberapa hari akan datang dengan bacaan pada tahap sederhana atau baik.
Bagaimanapun, keadaan itu masih bergantung kepada sama ada berlaku aktiviti pembakaran terbuka secara haram yang boleh menjejaskan kualiti udara.
Dalam pada itu, katanya, agensi berkaitan kini meningkatkan kesiapsiagaan termasuk menjalankan pemantauan lebih kerap terhadap keadaan jerebu dan kesihatan orang awam.
“Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) juga melaporkan angka rawatan dari semasa ke semasa supaya kita mengetahui status semasa,” katanya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai dan agensi mengurangkan aktiviti luar sekiranya keadaan jerebu tidak mengizinkan, terutamanya membabitkan murid sekolah rendah dan sekolah







