EXCO temu anak muda, fahami cabaran mobiliti harian

18 Sep 2026, 7:30 AM
EXCO temu anak muda, fahami cabaran mobiliti harian

SHAH ALAM, 18 SEPT: Pengalaman golongan muda berdepan cabaran pergerakan harian menjadi antara perkara yang didengar EXCO Mobiliti, Ng Sze Han, dalam pertemuan bersama mereka semalam.

Pertemuan itu menghimpunkan golongan muda daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar kolej, mereka yang sudah bekerja di Selangor serta peserta dari Negeri Sembilan dan Sarawak.

Menurut Sze Han, mereka berkongsi pengalaman sendiri mengenai cabaran bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain, termasuk perjalanan jarak terakhir (last mile), hubungan pengangkutan yang tidak menyeluruh, keadaan laluan pejalan kaki dan perancangan bandar.

“Mereka bercakap berdasarkan pengalaman sendiri mengenai cabaran harian untuk bergerak, daripada masalah last mile dan hubungan pengangkutan yang tidak menyeluruh kepada laluan pejalan kaki yang kurang baik dan perancangan bandar secara lebih meluas,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

EXCO Mobiliti, Ng Sze Han mengadakan pertemuan bersama golongan muda daripada pelbagai latar belakang bagi bertukar pandangan mengenai cabaran dan keperluan mobiliti harian pada 18 September 2026. Foto Facebook Ng Sze Han

Sze Han berkata, pengalaman pengguna itu turut membuka ruang untuk membincangkan usaha yang sedang dilaksanakan Selangor, termasuk perkhidmatan Transit Respons Permintaan (DRT), penambahbaikan laluan pejalan kaki dan perancangan pengangkutan awam.

Katanya, semua komponen berkenaan perlu dilihat secara menyeluruh bagi memastikan sistem mobiliti lebih mudah dan berkesan untuk pengguna.

Beliau turut berkongsi mengenai pelaksanaan Audit Berjalan Kaki (Walking Audits) di beberapa lokasi di Selangor sejak kebelakangan ini sebagai pendekatan untuk memahami keadaan sebenar yang dihadapi pejalan kaki.

“Dengan berjalan di laluan itu sendiri dan melihat keadaannya secara langsung, kami mendapat gambaran sebenar mengenai perkara yang dihadapi pejalan kaki setiap hari dan perkara yang boleh diperbaiki supaya perjalanan lebih selamat, selesa dan mempunyai hubungan yang lebih baik,” katanya.

Pendekatan itu turut selari dengan usaha Selangor memperkukuh perancangan bandar yang lebih mesra pejalan kaki.

EXCO Mobiliti Ng Sze Han mengadakan pertemuan bersama PLANMalaysia Selangor bagi membincangkan Garis Panduan Pelaksanaan Bandar Sihat Mesra Pejalan Kaki di Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor pada 7 September 2026. Foto MEDIA SELANGOR

Pada 7 September lalu, Sze Han mengadakan pertemuan bersama PLANMalaysia Selangor bagi membincangkan Garis Panduan Pelaksanaan Bandar Sihat Mesra Pejalan Kaki, termasuk aspek keselamatan, ketersambungan laluan dan akses yang lebih baik.

Dalam pertemuan itu, beliau turut menegaskan keperluan menghubungkan laluan pejalan kaki dengan pengangkutan awam bagi mewujudkan sistem pergerakan yang lebih mudah dan inklusif.

Dalam pada itu, Sze Han menyifatkan kesediaan golongan muda berkongsi pengalaman dan idea mengenai mobiliti sebagai sesuatu yang menggalakkan.

Katanya, pandangan tersebut membantu pihaknya memahami dengan lebih jelas keadaan sebenar di lapangan.

“Semoga mobiliti di Selangor terus bertambah baik, dan lebih banyak bandar yang mudah bergerak serta lebih selesa didiami untuk semua,” katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.