Talian Belia SEHAT dimanfaatkan remaja, 234 panggilan diterima hingga Ogos

18 Sep 2026, 7:30 AM
Talian Belia SEHAT dimanfaatkan remaja, 234 panggilan diterima hingga Ogos
Talian Belia SEHAT dimanfaatkan remaja, 234 panggilan diterima hingga Ogos
Talian Belia SEHAT dimanfaatkan remaja, 234 panggilan diterima hingga Ogos
Talian Belia SEHAT dimanfaatkan remaja, 234 panggilan diterima hingga Ogos

PETALING JAYA, 18 SEPT: Talian Belia SEHAT menerima 234 panggilan daripada golongan remaja sejak Januari hingga Ogos tahun ini, dengan isu buli antara perkara utama yang dibangkitkan.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata selain isu buli, golongan belia turut mendapatkan bantuan berkaitan pembelajaran, keluarga dan hubungan.

Jelas beliau, jumlah panggilan tersebut menunjukkan kepentingan penyediaan saluran khusus yang membolehkan golongan remaja mendapatkan sokongan secara selamat, percuma dan sulit.

“Talian Belia SEHAT diperkenalkan tahun ini selepas dua talian umum di bawah Talian SEHAT disatukan dan dijenamakan semula.

“Sasaran utama talian ini ialah golongan berusia 13 hingga 18 tahun, dengan perkhidmatan dikendalikan kaunselor berdaftar daripada Pusat Kaunseling Selangor,” katanya.

Beliau ditemui pada Kempen Sifar Buli Negeri Selangor 2026 serta Majlis Pelancaran Inisiatif Hab Rakan Sokongan SEHAT dan Talian Belia SEHAT yang disempurnakan Pengerusi KASIH Malaysia Dato' Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail di M World Hotel, di sini, hari ini.

Mulai 2026, Talian Belia SEHAT distrukturkan kepada dua saluran khusus iaitu Talian Belia yang boleh dihubungi menerusi 1700-82-7536 dan Talian Umum di 1700-82-7537.

Kedua-dua talian beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat, dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang, kecuali cuti umum.

Jamaliah berkata pendekatan tersebut penting kerana golongan remaja berdepan cabaran dan isu berbeza berbanding orang dewasa, sekali gus memerlukan sokongan yang bersesuaian dengan peringkat usia mereka.

Selain Talian Belia SEHAT, beliau berkata Selangor turut menyediakan Program Hab Rakan Sokongan bagi membantu individu yang memerlukan sokongan psikososial secara percuma dan sulit.

“Hab Rakan Sokongan ini turut melibatkan individu yang mempunyai pengalaman menghadapi cabaran kesihatan mental atau pernah menjadi mangsa buli.

“Pengalaman mereka dapat membantu memberikan sokongan awal kepada individu yang berdepan situasi sama,” katanya.

Beliau berkata pengguna tidak semestinya perlu berdepan masalah kesihatan mental yang serius sebelum mendapatkan bantuan kerana sokongan awal dapat membantu mengenal pasti masalah dan keperluan intervensi.

Katanya, sekiranya sesuatu kes memerlukan intervensi lanjut, pengguna boleh dirujuk kepada kaunselor, psikologi atau psikiatri mengikut keperluan.

Justeru, beliau menggalakkan golongan belia yang berdepan masalah atau memerlukan sokongan supaya memanfaatkan saluran yang disediakan.

“Inisiatif ini penting supaya golongan belia mempunyai ruang untuk bercakap dan mendapatkan bantuan daripada pihak terlatih tanpa rasa takut atau malu,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.