SHAH ALAM, 18 SEPT: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendapat pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Perkara itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim susulan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, pagi tadi.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan menyebut Najib akan menjalani tahanan rumah tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
"Beliau hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara," menurut kenyataan itu.
Keputusan berkenaan menyusul selepas permohonan pengampunan bekas presiden Umno itu ditangguhkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ke-63 pada 11 September lalu.
Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Lembaga Pengampunan pada Januari 2024 mengurangkan separuh hukuman asalnya selama 12 tahun serta mengurangkan denda RM210 juta kepada RM50 juta.
Dia mula menjalani hukuman pada Ogos 2022 selepas disabitkan menyeleweng RM42 juta milik SRC International.







