Ibu mangsa tikam Bandar Utama gesa AGC pertimbang rayuan

17 Sep 2026, 8:54 AM
Ibu mangsa tikam Bandar Utama gesa AGC pertimbang rayuan

SHAH ALAM, 17 SEPT: Ibu kepada Yap Shing Xuen, remaja perempuan yang maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama tahun lalu, menyokong petisyen yang menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) merayu keputusan mahkamah terhadap pelaku kes itu, lapor The Star.

Wong Lee Ping berkata keluarganya menghormati keputusan mahkamah dan proses undang-undang, namun sebagai keluarga mangsa, mereka merasakan ruang untuk bertindak agak terhad.

“Kami bukan hakim atau pendakwa raya. Kami hanya sebuah keluarga yang kehilangan anak perempuan.

“Kami cuma berharap proses undang-undang diberi pertimbangan sewajarnya, termasuk hak untuk merayu jika dibenarkan, dan suara seorang ibu yang kehilangan anak didengari,” katanya menerusi Facebook.

Wong turut menyeru orang ramai yang prihatin terhadap keselamatan sekolah serta hak dan kebajikan kanak-kanak supaya menyokong petisyen berkenaan.

Beliau juga meminta pengamal undang-undang, terutama yang berpengalaman dalam undang-undang jenayah dan proses rayuan, membantu memberi panduan kepada keluarganya.

Namun katanya, keputusan sama ada rayuan perlu dibuat tetap terletak pada pihak pendakwaan dan tertakluk kepada proses undang-undang.

Keluarga itu turut menggalakkan orang ramai menandatangani petisyen dan mengemukakan pandangan menerusi sistem aduan awam AGC.

Shing Xuen, 16, maut selepas ditikam seorang pelajar lain di tandas sekolah tahun lalu.

Pada Isnin, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepaskan dan membebaskan suspek berusia 15 tahun atas alasan tidak siuman selepas pakar psikiatri memberi keterangan bahawa remaja itu menghidap skizofrenia.

Mahkamah kemudian memerintahkan remaja berkenaan ditempatkan di Hospital Bahagia untuk menerima rawatan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.