SHAH ALAM, 17 SEPT: Tindakan seorang kelindan lori mengintai anak tiri perempuannya yang sedang mandi membawa padah apabila Mahkamah Majistret Batu Pahat menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan hari ini.
Majistret Mustakim Sukarno menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 26 tahun selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengaibkan kehormatan mangsa.
Mahkamah membuat keputusan selepas mengambil kira rayuan dan hujahan kedua-dua pihak termasuk hubungan tertuduh dengan mangsa.
“Mahkamah juga perlu mengambil kira hubungan tertuduh dengan mangsa sebelum menjatuhkan hukuman penjara setahun berkuat kuasa dari tarikh ditangkap (10 September lalu),” katanya.
Mengikut pertuduhan, bapa tiga anak itu didakwa mengintai anak tirinya berusia 12 tahun ketika mangsa sedang mandi di dalam bilik air sebuah rumah di daerah ini.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 6.40 pagi pada 9 September lalu dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa yang berada di rumah ketika kejadian terlihat tertuduh mengintai anaknya melalui celah lubang paip sebelum menyergah dan bertanyakan tindakannya itu.
Pengadu turut menyatakan kejadian sama pernah berlaku terhadap mangsa pada penghujung Julai tahun lalu, sebelum polis menjalankan siasatan dan menahan tertuduh pada jam 5.47 petang keesokan harinya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam Heng Eng Gee daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.







